KUALA LUMPUR: Karya Kola Loompor terbitan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta kejayaan apabila meraih tujuh anugerah, termasuk Anugerah Keseluruhan (Best of the Best) pada Festival Filem Video Pelajar Malaysia ke-14 (FFVPM14) yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini malam tadi.
Kemenangan itu turut melayakkan pasukan produksi Kola Loompor membawa pulang trofi serta menerima Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 di bawah Dana Pemangkin Generasi MADANI yang disediakan Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Program Belia Kreatif Komuniti MADANI bagi menghasilkan projek baharu dengan bimbingan dan sokongan industri.
Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah pada malam kemuncak festival itu.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah ASWARA Datuk Syafinaz Selamat, Rektor ASWARA Datuk 'Ainu Sham Ramli, Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Kola Loompor turut mengungguli enam kategori lain, iaitu Anugerah Skrip Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Rekaan Set Terbaik.
Sementara itu, karya Malam Bersiong terbitan ASWARA dinobatkan sebagai Filem Pendek Terbaik, selain meraih tiga anugerah lain, iaitu Susunan Muzik Terbaik, Kostum Terbaik dan Tatarias Terbaik.
Tiga lagi karya terbitan UiTM turut mencatat kejayaan apabila Between Waves dinobatkan sebagai Filem Dokumentari Pendek Terbaik, Sang Kercis (Filem Animasi Pendek Terbaik) dan Memories SOG (Video Muzik Terbaik).
Anugerah Khas Juri pula diberikan kepada Rahsia Cinta terbitan ASWARA, manakala Karya 100 dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menerima Anugerah Bakat Muda.
Selain geran penerbitan, hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 berserta trofi turut diberikan menerusi 22 kategori anugerah yang dipertandingkan.
FFVPM14 yang kembali dianjurkan selepas edisi terakhir pada 2022 menyaksikan penyertaan sebanyak 177 karya daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di seluruh negara.
Mengangkat slogan “Manifestasi MADANI, Mahakarya Generasi”, festival dua hari bermula semalam itu dianjurkan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan sokongan FINAS bagi mengiktiraf karya serta mencungkil bakat baharu dalam industri perfileman negara.
Barisan juri profesional festival berkenaan diketuai pengarah filem Dain Said bagi menilai hasil kreativiti dan kemahiran pembikin filem muda dalam pelbagai aspek penerbitan.
Malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi ASWARA dan FINAS itu turut diserikan dengan kehadiran alumni ASWARA, antaranya pelakon Amerul Affendi dan Zahiril Adzim serta pelakon yang juga Dekan PuTRA ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Floor 88 serta gandingan pengacara Zulin Aziz dan Kai Hassan yang juga alumni ASWARA.
-- BERNAMA