Skip to main content

Dunia

Haba melampau ancam sistem agrimakanan global - Laporan PBB

41707875877_TBCUACAPANASjpg.jpg
Haba melampau menyebabkan anggaran kehilangan sekitar 500 bilion jam kerja setiap tahun di seluruh dunia. - Gambar hiasan

ROM: Haba melampau semakin menjejaskan sistem agrimakanan global serta mengancam mata pencarian dan kesihatan lebih satu bilion orang, menurut laporan bersama Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Rabu, lapor Xinhua.

Laporan bertajuk “Kepanasan Melampau dan Pertanian” itu menyatakan kekerapan, intensiti dan tempoh kejadian haba melampau meningkat dengan ketara sejak setengah abad lalu, sekali gus menjejaskan sistem pertanian dan landskap di seluruh dunia.

Advertisement

Menurut laporan itu, ternakan mula mengalami tekanan haba pada suhu melebihi 25 darjah Celsius, manakala hasil tanaman utama mula merosot apabila suhu melebihi 30 darjah. Ikan yang terdedah kepada suhu air tinggi pula berisiko mengalami kegagalan jantung. 

Pada 2024, sebanyak 91 peratus lautan global mengalami sekurang-kurangnya satu gelombang haba marin.

Haba melampau juga boleh membawa maut kepada pekerja ladang. Di beberapa kawasan Asia Selatan, Afrika sub-Sahara tropika serta Amerika Tengah dan Selatan, terdapat sehingga 250 hari setahun yang terlalu panas untuk bekerja. 

Laporan itu turut menyebut mengenai haba melampau menyebabkan anggaran kehilangan sekitar 500 bilion jam kerja setiap tahun di seluruh dunia.

Laporan itu turut menyifatkan haba melampau sebagai “pengganda risiko” yang memburukkan lagi kemarau, kebakaran hutan serta penyebaran perosak dan penyakit.

Ia menggesa langkah seperti pembiakbakaan tanaman, pelarasan pilihan tanaman dan jadual penanaman, serta pengurusan ladang yang lebih baik bagi mengurangkan pendedahan kepada haba.

“Laporan ini menunjukkan bagaimana haba melampau menjadi pengganda risiko utama, yang memberi tekanan semakin meningkat kepada tanaman, ternakan, perikanan dan hutan, serta komuniti dan ekonomi yang bergantung kepadanya,” kata Ketua Pengarah FAO Qu Dongyu.

Setiausaha Agung WMO Celeste Saulo berkata haba melampau bukan sekadar bahaya iklim terpencil, sebaliknya bertindak sebagai faktor risiko berganda yang memperbesarkan kelemahan sedia ada dalam sistem pertanian.

Laporan itu menyatakan yang menangani kesan haba melampau juga memerlukan usaha mengatasi halangan sosioekonomi di negara berpendapatan rendah dan sederhana, di samping penyelesaian teknikal, serta menggesa kerjasama antarabangsa bagi melindungi keselamatan makanan dan menyokong peralihan kepada pembangunan rendah pelepasan karbon.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video