Skip to main content

Dunia

Hakim AS arah penggabungan Paramount-Warner Bros ditangguh sementara

FILE PHOTO: Paramount and Warner Bros logos are seen in this illustration taken December 8, 2025. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration/File Photo
Mahkamah memberi tempoh 14 hari kepada negeri-negeri terbabit untuk mengemukakan hujah berhubung merit kes mereka bagi menyekat penggabungan tersebut. - Foto REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan penangguhan sementara penggabungan antara Paramount Skydance dan Warner Bros Discovery selepas gabungan 12 negeri yang diketuai California memfailkan saman bagi menyekat urus niaga berbilion dolar itu.

Hakim Daerah AS, Araceli Martinez-Olguin, pada Isnin memberikan tempoh 14 hari kepada pihak plaintif untuk mengemukakan hujah substantif berhubung dakwaan bahawa penggabungan tersebut akan menjejaskan persaingan dalam industri media dan hiburan.

Keputusan itu dibuat susulan saman yang difailkan minggu lalu oleh 12 negeri berkenaan di mahkamah persekutuan California.

Mahkamah dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum membuat keputusan muktamad, manakala satu sesi pendengaran lanjut telah dijadualkan pada 3 Ogos.

Dalam saman tersebut, negeri-negeri terbabit berhujah bahawa penggabungan itu berpotensi mengurangkan jumlah kandungan yang ditawarkan kepada pengguna serta menyebabkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran dalam sektor media dan hiburan.

Di bawah syarat pembiayaan urus niaga itu, Paramount dijangka menanggung kos tambahan yang tinggi sekiranya proses penggabungan terus tertangguh.

Syarikat itu perlu membayar kira-kira AS$650 juta setiap suku tahun bermula 30 September menerusi mekanisme yang dikenali sebagai 'ticking fee'.

Selain itu, Paramount juga perlu membayar caj sebanyak 25 sen sesaham, bersamaan kira-kira AS$7 juta sehari, seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian penggabungan syarikat berkenaan.

Cadangan penggabungan itu sejak sekian lama mendapat perhatian industri hiburan Hollywood dan pembuat dasar di Washington berikutan kebimbangan bahawa ia boleh mengurangkan peluang pekerjaan dalam sektor penerbitan filem dan televisyen serta mengehadkan pilihan pengguna.

Penggabungan tersebut juga dijangka menyatukan beberapa organisasi media utama di bawah satu kumpulan korporat, termasuk CBS News dan CNN, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kepelbagaian landskap media.

Terdapat juga kebimbangan dalaman bahawa Larry Ellison, yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden AS Donald Trump, serta anaknya David Ellison yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, mungkin melakukan perubahan besar terhadap operasi CNN.

Perhatian turut tertumpu kepada laporan bahawa penulis konservatif, Bari Weiss, berpotensi diberikan peranan penting dalam pengurusan rangkaian berita itu sekiranya penggabungan berkenaan diluluskan.

Laporan media menyebut kemungkinan perubahan tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa personaliti terkenal CNN, dengan ada yang dilaporkan mempertimbangkan untuk meninggalkan rangkaian berkenaan.

Pakar kebebasan media turut memberi amaran bahawa penggabungan itu boleh menjejaskan akses orang ramai kepada pelbagai sudut pandangan dalam laporan berita.

Profesor Jabatan Media, Budaya dan Komunikasi Universiti New York, Rodney Benson, berkata penggabungan tersebut berisiko meningkatkan pemusatan pemilikan media dan mengurangkan pilihan pengguna.

Menurut beliau, langkah itu juga boleh mengukuhkan pengaruh pemilik media terhadap kandungan berita yang diterbitkan dan mengubah keseimbangan ekosistem media di AS.

Sementara itu, Kesatuan Penulis Amerika (Writers Guild of America, WGA) turut memfailkan saman berasingan minggu lalu bagi menghalang penggabungan tersebut.

Presiden WGA West, Michele Mulroney, berkata penggabungan itu berpotensi menghapuskan persaingan dalam industri yang sememangnya sudah tertumpu kepada beberapa syarikat besar.

Beliau menegaskan bahawa langkah itu boleh mengancam mata pencarian pekerja industri hiburan serta menjejaskan kepelbagaian kreatif dalam penerbitan televisyen dan filem.

Setakat ini, wakil Paramount Skydance belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung keputusan mahkamah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, saham Paramount Skydance dilaporkan merosot sejurus selepas berita penangguhan itu diumumkan sebelum kembali stabil menjelang tengah hari dagangan. Saham Warner Bros Discovery pula terus mencatatkan penurunan sekitar 3.8 peratus.

 

Must Watch Video

Advertisement