KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah gering akibat dijangkiti virus Influenza A.
Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu disahkan doktor peribadi yang merawat Baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng.
Jelas kenyataan itu, gejala jangkitan mula dikesan pada pagi Jumaat (30 Oktober), apabila baginda mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.
"Berdasarkan penilaian mereka, baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.
"Alhamdulillah, keadaan kesihatan baginda kini beransur pulih, namun baginda masih mengalami demam.
"Sehubungan itu, doktor-doktor yang merawat menasihatkan agar baginda berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, susulan perkembangan berkenaan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, yang dijadualkan berlangsung pada Ahad (1 November), ditangguhkan ke Sabtu (7 November).
"Semua pihak yang terlibat dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh tersebut.
"Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyeru orang ramai supaya mendoakan baginda dikurniakan kesembuhan segera serta kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.