GEORGE TOWN: Pulau Pinang mempergiat usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelancongan kapal persiaran menerusi cadangan memperkenalkan ‘Strategi 3I’ yang menyasarkan untuk menaik taraf kemudahan pelabuhan dan menarik laluan baharu bagi kapal persiaran antarabangsa.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata strategi itu dapat meningkatkan daya saing pelabuhan negeri dan pada masa sama memastikan peningkatan jumlah pelancong kapal persiaran membawa manfaat ekonomi yang bermakna kepada perniagaan dan masyarakat setempat.
Menerusi Strategi 3I, beliau menggariskan tiga keutamaan iaitu menambah baik kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan bagi meningkatkan kapasiti pengendalian serta pengalaman penumpang; dan memperkenalkan laluan baharu kapal persiaran antarabangsa bagi menarik lebih banyak persinggahan kapal dan tempoh berlabuh yang lebih lama.
Selain itu ialah mempergiat kerjasama antara pihak pelabuhan dengan industri pelancongan bagi memastikan lebih banyak perniagaan tempatan menerima manfaat daripada ekonomi pelancongan kapal persiaran, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Terminal merupakan tempat pertama yang dikunjungi pelawat antarabangsa apabila tiba di Pulau Pinang. Bermula daripada proses turun kapal dan pemeriksaan pelepasan sehingga menaiki pengangkutan untuk bersiar-siar, setiap peringkat mempengaruhi tanggapan mereka terhadap Pulau Pinang.
“Kita perlu menyediakan perkhidmatan yang selamat, cekap dan mudah bagi memastikan pengalaman awal yang positif kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata selain itu kerjasama dengan syarikat kapal persiaran antarabangsa dan operator pelancongan serantau perlu diperkukuh menerusi promosi bersama dan jaringan perniagaan bagi menggalakkan lebih banyak syarikat kapal persiaran memasukkan Pulau Pinang dalam jadual perjalanan tetap mereka.
Menurut Yeoh melanjutkan tempoh untuk kapal persiaran berada di pelabuhan juga perlu dipertimbangkan bagi memberikan lebih banyak masa kepada penumpang untuk bersiar-siar dan berbelanja.
Beliau mengemukakan cadangan itu sempena majlis sambutan persinggahan pertama kapal persiaran Navigator of the Seas di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini semalam.
Kapal persiaran itu membawa seramai 5,087 orang yang terdiri daripada 3,887 penumpang antarabangsa dan 1,200 anak kapal.
Yeoh yang juga Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia mencadangkan supaya agensi pelancongan, pemandu pelancong, operator pengangkutan, operator perniagaan makanan dan minuman (F&B) serta penggiat industri kreatif bekerjasama bagi membangunkan pelbagai pakej lawatan darat untuk penumpang kapal persiaran.
Beliau berkata pakej lawatan itu boleh merangkumi warisan budaya George Town, makanan tempatan, kraf tradisional dan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.
Sementara itu, Yeoh berkata SPCT merekodkan pergerakan seramai 569,173 penumpang dari Januari hingga September 2026 berbanding 374,171 penumpang dalam tempoh sama pada 2025, dengan peningkatan sebanyak 52.12 peratus.
“Prestasi ini menyediakan asas kukuh bagi kerjasama yang lebih erat antara sektor pelabuhan dan pelancongan.
“Manfaat pembangunan pelabuhan perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih baik, perhubungan antarabangsa yang lebih kukuh serta peluang perniagaan yang nyata kepada pengusaha tempatan,” katanya.
Mengulas mengenai persinggahan pertama Navigator of the Seas, Yeoh berkata kunjungan kapal itu membuka peluang perniagaan kepada sektor F&B, peruncitan, pengangkutan, khidmat pemandu pelancong dan perkhidmatan pelancongan di Pulau Pinang di samping memperlihatkan potensi negeri itu dalam pembangunan pelancongan kapal persiaran.
Pada 21 Oktober, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata lima kapal persiaran antarabangsa dijadualkan membuat persinggahan pertama di SPCT di sini antara Oktober hingga Disember tahun ini, dengan kapasiti penumpang keseluruhan melebihi 10,000 orang.
Lima kapal berkenaan ialah Navigator of the Seas, Villa Vie Odyssey, Adora Mediterranea, Star Seeker dan Celebrity Solstice, dengan Navigator of the Seas menjadi kapal pertama tiba pada 30 Oktober, pada 2.30 petang.
-- BERNAMA