Skip to main content

Dunia

Dua penduduk Palestin terbunuh akibat keganasan Israel

Pelanggaran Israel terhadap gencatan senjata Gaza telah membunuh 1,574 rakyat Palestin dan mencederakan 5,687 yang lain sehingga Khamis, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza. - Foto REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Pelanggaran Israel terhadap gencatan senjata Gaza telah membunuh 1,574 rakyat Palestin dan mencederakan 5,687 yang lain sehingga Khamis, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza. - Foto REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Advertisement

Advertisement

GAZA CITY/ISTANBUL: Seorang rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di tengah Gaza awal Sabtu, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam serangan sebelum ini, sumber perubatan memberitahu Anadolu Ajansi (AA).

Kematian berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan tentera Israel terhadap perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025.

Sumber perubatan di Hospital Al-Awda di tengah Gaza berkata Diaa Abu al-Rous terkorban dalam serangan Israel ke kem pelarian di Nuseirat.

Advertisement

Saksi memberitahu Anadolu, sebuah dron Israel melakukan serangan berhampiran ibu pejabat sebuah syarikat elektrik di utara kem.

Secara berasingan, Arafat al-Arair meninggal dunia akibat kecederaan serius yang dialami beberapa hari sebelum itu dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di kejiranan Tel al-Hawa, barat daya Kota Gaza.

Advertisement

Sumber perubatan di Hospital Al-Shifa di barat Gaza City mengesahkan kematiannya kepada Anadolu.

Sementara itu, sumber tempatan memberitahu Anadolu, kenderaan dan meriam tentera Israel membedil beberapa kawasan di seluruh Semenanjung Gaza.

Serangan itu menyasarkan bahagian timur Beit Lahia di utara Gaza, Kota Gaza, Khan Younis di selatan dan Deir al-Balah di tengah Gaza, menurut sumber.

Kapal perang Israel turut menyasarkan pantai Gaza City dan melepaskan tembakan mesingan ke arah pantai.

Kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rumah berhampiran persimpangan al-Sanafour di kawasan kejiranan Tuffah timur Bandar Gaza.

Di Khan Younis, sumber tempatan melaporkan kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah yang melindungi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di kawasan al-Iqlimi dan Bir 19 di selatan bandar itu.

Beberapa khemah dihujani tembakan namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut sumber.

Pelanggaran Israel terhadap gencatan senjata Gaza telah membunuh 1,574 rakyat Palestin dan mencederakan 5,687 yang lain sehingga Khamis, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza.

Bemula Oktober 2023, perang Israel di Gaza telah membunuh lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, menurut kementerian itu.

Perang juga memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam, menurut angka yang diberikan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement