Hakim gugur pertuduhan terhadap bekas Ketua FBI, Peguam Negara New York

Hakim AS menolak pertuduhan jenayah terhadap Comey (kiri) dan James selepas mendapati pendakwa yang membawa kes itu dilantik secara tidak sah. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Seorang Hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menolak pertuduhan jenayah terhadap bekas Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey dan Peguam Negara New York, Letitia James, selepas mendapati pendakwa yang membawa kes itu dilantik secara tidak sah.
Keputusan itu menjadi tamparan besar kepada usaha Jabatan Kehakiman untuk mendakwa individu yang sering dituduh melakukan salah laku oleh Presiden Donald Trump, termasuk mereka yang pernah menyiasat atau mengkritik beliau secara terbuka.
Hakim Daerah AS, Cameron McGown Currie memutuskan bahawa Lindsey Halligan – bekas peguam peribadi Trump yang dilantik sebagai Peguam Negara Sementara bagi Daerah Timur Virginia pada September – “tidak mempunyai kuasa sah” untuk mengemukakan pertuduhan.
Currie menggugurkan kes berkenaan tanpa prejudis, membolehkan Jabatan Kehakiman memfailkan semula pertuduhan di bawah pendakwa yang dilantik secara sah.
Pelantikan dipersoalkan
Halligan yang tiada pengalaman sebagai pendakwa dilantik selepas Trump mengarahkan Peguam Negara, Pam Bondi menggantikan pendahulunya, Erik Siebert yang enggan membawa kes terhadap Comey dan James kerana kekurangan bukti.
Tidak lama selepas memegang jawatan itu, Halligan berjaya mendapatkan pertuduhan terhadap kedua-dua tokoh itu walaupun pendakwa berpengalaman enggan terlibat.
Comey mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat kenyataan palsu dan menghalang siasatan Kongres, manakala James berdepan tuduhan penipuan bank dan memberikan maklumat palsu kepada institusi kewangan.
Peguam kedua-dua pihak berhujah bahawa pelantikan Halligan melanggar undang-undang persekutuan yang mengehadkan tempoh pelantikan sementara kepada 120 hari.
Mereka mendakwa, pelantikan berulang membolehkan eksekutif mengelak proses pengesahan Senat tanpa had.
Jabatan Kehakiman pula berhujah undang-undang membenarkan pelantikan sementara berulang.
Bondi kemudian cuba mengukuhkan kes dengan melantik Halligan sebagai peguam khas dan mendakwa beliau telah mengesahkan pertuduhan tersebut.
Pada pendengaran 13 November, Hakim Currie berulang kali mempersoalkan mengapa Jabatan Kehakiman mengambil langkah tambahan itu jika yakin pelantikan Halligan adalah sah.
Kedua-dua Comey dan James turut mendakwa pendakwaan ini bersifat “dendam politik” yang didorong oleh permusuhan Trump terhadap mereka. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


