Skip to main content

Dunia

Trump dakwa FBI siasat hubungan ketua Nvidia dengan wanita disyaki perisik

Trump bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Huang sendiri turut disiasat. - Foto fail/REUTERS
Trump bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Huang sendiri turut disiasat. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat dakwaan kegiatan pengintipan China yang dikaitkan dengan hubungan sulit membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang, menurut Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bercakap pada sidang media di White House, Trump bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Huang sendiri turut disiasat.

Syarikat pengeluar cip AS, Nvidia sebelum ini telah memulakan siasatan dalaman susulan laporan bahawa Huang menjadi sasaran ejen perisikan asing.

Advertisement

Siasatan itu akan diselia oleh anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan bersama penyiasat luar.

Laporan media sejak beberapa hari lepas mendakwa Huang mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang disyaki telah direkrut oleh agensi perisikan China.

Advertisement

Huang mengakui hubungan berkenaan menerusi e-mel kepada pekerja Nvidia.

Ketua Nvidia itu menjalin hubungan rapat dengan Trump sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan Presiden AS itu sekali lagi mempertahankannya pada sidang media berkenaan.

Trump berkata beliau telah bercakap dengan Huang pada awal Isnin dan bertanya sama ada beliau mengetahui mengenai dakwaan kegiatan pengintipan wanita itu.

"Beliau memberitahu saya, 'Saya langsung tidak tahu bahawa wanita itu seorang perisik,' dan saya benar-benar mempercayainya," kata Trump.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Presiden China Xi Jinping pada pertemuan mereka yang akan datang, Trump menjawab: "Tidak, saya rasa tidak."

Kedua-dua pemimpin berkenaan berkemungkinan mengadakan pertemuan buat kali ketiga tahun ini dalam tempoh lebih seminggu lagi, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di bandar Shenzhen, selatan China.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement