NEW YORK: Hakim di sebuah mahkamah di New York pada Khamis enggan membenarkan Hadi Matar yang dituduh menyerang penulis kontroversi, Salman Rushdie dibebaskan dengan jaminan.

Keputusan itu dibuat setelah Matar, 24, hadir di mahkamah selepas pihak juri mendakwanya atas tuduhan menaiki pentas di Institusi Chautauqua, New York dan menikam Rushdie beberapa kali di hadapan orang ramai pada Jumaat minggu lalu.

Dalam perbicaraan tersebut, dia memakai pakaian seragam banduan berbelang putih dan hitam.

Ketika perbicaraan, peguamnya gagal mempengaruhi hakim supaya Matar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

Peguam belanya, Nathaniel Barone berkata, pemuda itu yang merupakan warga Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak akan melarikan diri dari negara jika dibebaskan.

Barone juga meminta hakim supaya melakukan sesuatu untuk menghalang para wartawan daripada cuba menghubungi Matar di penjara Chautauqua County.

Baru-baru ini Matar memberikan temu bual ringkas kepada akhbar The New York Post yang mana dia menyatakan tidak menyukai Rushdie dan memuji bekas Pemimpin Agung Iran, Allahyarham Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Khomeini mengeluarkan fatwa pada tahun 1989 bagi menuntut Rushdie dibunuh berikutan novelnya, "The Satanic Verses" dianggap oleh sesetengah umat Islam sebagai menghina Nabi Muhammad SAW.

Peguam Matar mengadu bahawa liputan media berpotensi akan menyebabkan pihak juri bersikap berat sebelah.

Hakim David Foley kemudian membuat keputusan bahawa bercakap kepada akhbar tidak dibenarkan sehingga kes itu berjaya diselesaikan.

Sebelum ini, pertuduhan awal difailkan pada Sabtu lalu dan peguam dilantik mahkamah memberitahu media bahawa Matar membuat pengakuan tidak bersalah kerana menyerang Rushdie.

Rushdie, 75, yang merupakan warga United Kingdom dan berketurunan India sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerana kecederaan akibat ditikam Matar. -Sinar Harian memetik laporan agensi