KUMPULAN pejuang Palestin mengesahkan gencatan senjata sementara yang disetujui oleh kedua-dua pihak akan berlangsung selama empat hari.

Al Jazeera memetik satu kenyataan dikongsi oleh Hamas di Telegram, yang memberitahu, dalam tempoh ini Israel akan menghentikan tindakan ketenteraan di semua kawasan di Semenanjung Gaza, termasuk pergerakan kenderaan tentera.

Dalam gencatan senjata ini juga, ratusan trak bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan dan bahan api, akan dibenarkan masuk ke Gaza.

Pergerakan dron di selatan Gaza juga dimaklumkan akan dihentikan selama empat hari, iaitu selama enam jam sehari, antara 10 pagi dan 4 petang waktu tempatan.

Semasa tempoh gencatan senjata, Israel memberi komitmen untuk tidak menyerang atau menangkap sesiapa di semua kawasan di Semenanjung Gaza dan kebebasan bergerak akan dijamin di sepanjang jalan Salah al-Deen.

Hamas juga berkata bahawa 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.