Ringkasan AI
- Perjanjian Bekalan Air Pukal Bersyarat antara Pulau Pinang dan Perak menjamin bekalan air sehingga 2072 dengan mekanisme pampasan dan hak penamatan kontrak.
- Perjanjian bernilai RM24.6 bilion selama 40 tahun ini melibatkan Caj Kapasiti RM8.4 bilion dan Caj Bekalan RM16.2 bilion untuk bekalan air terawat.
- Perak bertanggungjawab membina dan menyelenggara loji, manakala PBAPP hanya membayar bagi air diterima dan boleh menuntut ganti rugi jika berlaku kegagalan bekalan.
GEORGE TOWN: Perjanjian Bekalan Air Pukal Bersyarat (BWSA) antara Pulau Pinang dan Perak menyediakan perlindungan kepada negeri itu menerusi mekanisme pampasan, pengecualian bayaran bagi bekalan air yang tidak diterima serta hak untuk menamatkan perjanjian sekiranya berlaku pelanggaran kontrak.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata perjanjian antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP) itu pada asasnya merupakan kerjasama antara kerajaan (G2G) bagi menjamin bekalan air jangka panjang Pulau Pinang.
Beliau berkata perjanjian berkenaan akan menyediakan sumber air baharu yang mampu membekalkan antara 300 hingga 500 juta liter air terawat sehari (JLS) secara konsisten untuk tempoh 40 tahun akan datang dan seterusnya.
Perjanjian itu melibatkan Caj Kapasiti berjumlah RM8.4 bilion bagi tempoh 40 tahun, yang pada asasnya merupakan bayaran tertangguh bagi pembinaan loji rawatan air berkapasiti 500 JLH khusus untuk membekalkan air ke Pulau Pinang, katanya.
"Perak akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap risiko pembinaan dan pembiayaan, selain penyelenggaraan serta kerja menaik taraf sepanjang tempoh perjanjian.
"PBAPP tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan atau sumbangan modal kepada PAIP. Sebaliknya, kos pembinaan loji itu akan dibayar semula menerusi Caj Kapasiti tahunan sebanyak RM210 juta bermula dari Tarikh Mula Bekalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zairil berkata Caj Kapasiti merupakan bayaran bagi memastikan kapasiti loji sentiasa tersedia untuk kegunaan Pulau Pinang, selain menampung kos pembinaan dan pembiayaannya, manakala Caj Bekalan merujuk kepada harga sebenar air yang disalurkan.
Beliau berkata PBAPP hanya perlu membayar Caj Bekalan bagi air yang benar-benar diterima dan memenuhi piawaian kualiti dipersetujui, manakala PAIP diwajibkan membayar ganti rugi tertentu kepada PBAPP bagi setiap meter padu kekurangan bekalan air atau kegagalan memenuhi piawaian kualiti berkenaan, pada kadar sama seperti caj bekalan air.
Bagaimanapun, mekanisme ganti rugi itu tidak terpakai sekiranya kekurangan bekalan berpunca daripada keadaan di luar kawalan PAIP seperti kemarau teruk atau apabila keperluan bekalan air Perak sendiri diberi keutamaan berdasarkan klausa kepentingan negeri.
Mengenai kebimbangan terhadap gangguan bekalan air berpanjangan, Zairil berkata sekiranya bekalan terhenti melebihi tiga bulan tanpa sebarang kesalahan di pihak PBAPP, mana-mana pihak boleh memohon rundingan semula dan merujuk perkara itu kepada kerajaan negeri masing-masing untuk proses pengantaraan.
"Sekiranya rundingan semula gagal mencapai persetujuan selepas tempoh tiga bulan berikutnya, mana-mana pihak boleh menamatkan perjanjian dengan PBAPP dikehendaki membuat bayaran sekali gus berdasarkan baki Caj Kapasiti yang didiskaunkan pada kadar empat peratus setahun, berbanding meneruskan bayaran RM210 juta setiap tahun hingga 2072," katanya.
Zairil berkata PBAPP juga boleh menamatkan perjanjian dan menuntut ganti rugi sekiranya PAIP melanggar obligasinya serta gagal membetulkan pelanggaran itu dalam tempoh 90 hari atau jika PAIP mengalami ketidakmampuan membayar hutang.
Beliau berkata perjanjian berkenaan turut menyediakan pilihan lain untuk menamatkan kontrak, termasuk sekiranya lesen PAIP tidak diperbaharu tanpa kesalahan mana-mana pihak, selain PBAPP boleh menarik diri pada tahun ke-22 kontrak sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai semakan Caj Bekalan, tertakluk kepada pembayaran baki Caj Kapasiti yang didiskaunkan pada kadar empat peratus setahun.
Sementara itu, Zairil berkata keperluan melaksanakan projek tersebut tidak dipertikai Lembaga Pengarah PBA Holdings Bhd, termasuk lima pengarah yang tidak bersetuju dengan cadangan itu, memandangkan projek berkenaan penting bagi menjamin keterjaminan bekalan air jangka panjang Pulau Pinang.
Beliau berkata permintaan air di negeri itu diunjurkan melebihi 1,100 JLH menjelang 2032 ketika Pulau Pinang masih bergantung kepada Sungai Muda sebagai sumber bekalan, manakala sumber air permukaan sedia ada dijangka digunakan sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Perjanjian itu dianggarkan bernilai RM24.6 bilion bagi tempoh 40 tahun, merangkumi Caj Kapasiti sebanyak RM8.4 bilion dan Caj Bekalan berjumlah RM16.2 bilion.
-- BERNAMA