Kira-kira 60,000 wanita Afghanistan dilaporkan menghidap penyakit kanser payudara setiap tahun, kebanyakannya di ibu kota Kabul, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Daily Outlook Afghanistan pada Ahad.

Menurut akhbar itu, satu survei yang dijalankan sebuah badan bukan kerajaan Yayasan Kanser Afghanistan (ACF) di 10 daripada 34 wilayah di negara itu telah mendapati Kabul memiliki jumlah pesakit kanser payudara paling ramai.

"Kabul memiliki jumlah pesakit kanser payudara paling ramai diikuti wilayah-wilayah Balkh, Panjshir dan Kapisa," lapor akhbar itu memetik kenyataan Jawad Safi, pemimpin ACF.

Mengesahkan perkata itu, sumber Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan (MoPH) berkata kanser payudara adalah penyakit paling berbahaya kepada wanita selepas penyakit jantung, lapor akhbar tersebut.

"Mencegah penyusuan badan, merokok dan obesiti adalah penyebab utama kanser payudara di negara ini," lapor akhbar itu memetik kenyataan pakar perubatan Nasrin Oryakhil.

Di seluruh negara, menurut laporan media, hanya terdapat satu jabatan onkologi dengan 65 katil, tetapi tanpa rawatan kemoterapi dan tiada radiasi di Hospital Jamhuriat (Republikan) di Kabul, lapor akhbar itu.

-- BERNAMA