AMSTERDAM: Harga gas asli Eropah terus melonjak pada Rabu susulan situasi yang semakin tegang di Asia Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Buat kali pertama sejak akhir 2022, kontrak niaga hadapan gas asli TTF penanda aras bagi penghantaran dalam tempoh sebulan meningkat kepada €79.11 (US$92) setiap megawatt jam (MWh) di Bursa Amsterdam, naik 1.22 peratus berbanding hari sebelumnya.
Konflik antara Amerika Syarikat dan Iran berhubung kawalan ke atas Selat Hormuz baru-baru ini semakin memuncak. Tentera AS berkata pihaknya merosakkan lima kapal tangki minyak mentah Iran dan menenggelamkan sebuah daripadanya sebagai tindak balas terhadap serangan Tehran ke atas sebuah kapal perang AS.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan bertindak balas dengan serangan peluru berpandu secara besar-besaran terhadap Jordan, sekutu AS. Agensi berita negara Jordan, Petra, melaporkan bahawa pasukan pertahanan Jordan memintas 20 peluru berpandu balistik.
Dengan lonjakan harga terbaharu itu, harga borong gas asli kini lebih tinggi berbanding pada permulaan konflik Iran, ketika harga meningkat seketika kepada lebih €70 setiap MWh pada Mac.
Pada 2022, harga gas meningkat buat sementara waktu melebihi €300 susulan pengurangan bekalan Rusia akibat perang di Ukraine.
Pemacu utama harga ketika ini ialah kebimbangan bahawa bekalan gas asli cecair (LNG) dari kawasan pengeluaran di Teluk Parsi mungkin terhalang secara kekal, berikutan tiada petunjuk mengenai pembukaan semula Selat Hormuz secara berkekalan.
Pakar tidak melihat pasaran gas akan kembali reda dalam masa terdekat. "Di Asia, musim sejuk yang lebih sejuk secara amnya dijangka susulan fenomena cuaca El Nino, yang boleh menyebabkan permintaan LNG lebih tinggi di rantau itu," kata penganalisis Commerzbank, Norman Liebke. Di Eropah, di mana paras simpanan gas adalah rendah, permintaan LNG juga akan kekal tinggi dan keadaan itu berpotensi menyebabkan harga terus meningkat,katanya.
-- BERNAMA-dpa