NEW YORK/LONDON: Inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membantu menggerakkan kapal-kapal yang terkandas di Selat Hormuz gagal meredakan pasaran minyak dunia pada Isnin, apabila harga melonjak kepada US$109.84, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kenaikan harga bagi satu tong (159 liter) minyak mentah Brent Laut Utara untuk penghantaran Julai meningkat sebanyak 1.54 peratus.
Advertisement
Pada Ahad, Trump memberi amaran menerusi platform Truth Social miliknya bahawa beliau akan bertindak tegas terhadap sebarang halangan kepada inisiatif yang dinamakan sebagai "Project Freedom" itu.
Pada Isnin, kepimpinan tentera Iran pula mengancam untuk melancarkan serangan. Komander Markas Pusat Tentera Iran, Ali Abdollahi Aliabadi berkata kapal-kapal kargo yang mahu melalui selat itu perlu menyelaraskan pergerakan dengan angkatan tentera Iran.
Harga minyak meningkat berikutan para pedagang meragui keberkesanan rancangan AS berkenaan. Rundingan antara Washington dan Tehran untuk menamatkan peperangan juga dianggap menemui jalan buntu.
Minggu lepas, harga minyak meningkat kepada lebih US$126 setong - paras tertinggi sejak 2022 apabila Rusia memulakan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.
-- BERNAMA-dpa