ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menegaskan mereka memantau situasi pesawah yang terkesan akibat kekurangan bekalan air dan peningkatan kos operasi sehingga menyebabkan kelewatan penanaman padi.
Pengerusi MADA Datuk Ismail Salleh berkata bekalan air bagi pengairan sawah bergantung kepada empat sumber utama, iaitu empangan, sungai, hujan dan kitar semula air dengan kira-kira 50 peratus bergantung kepada takungan empangan.
Advertisement
“Tiga empangan utama iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning menjadi sumber penting, namun paras semasa tidak mencukupi untuk pelepasan air bagi tujuan pengairan. Keadaan ini cabaran besar yang bukan berpunca daripada MADA,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Beliau berkata jumlah taburan hujan sehingga 30 April direkodkan hanya 790 milimeter (mm), jauh lebih rendah berbanding 1,545 mm pada tahun lepas, menyebabkan paras empangan pada tahap rendah, iaitu kira-kira 39 peratus secara keseluruhan manakala Empangan Muda pada tahap kritikal kurang 10 peratus.
“Dalam keadaan ini, kita tidak mampu melepaskan air seperti biasa. Ini adalah cabaran besar yang berpunca daripada faktor cuaca, bukan kelemahan pengurusan,” katanya.
Ismail berkata kelewatan penanaman turut berlaku kerana pesawah menunggu hujan mencukupi bagi mengurangkan risiko kerugian walaupun kerja penyediaan tanah telah melebihi 50 peratus.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pesawah memanfaatkan cuaca hujan yang telah bermula ketika ini dan menggunakan pam bagi kawasan berhampiran terusan untuk memulakan penanaman secara tabur basah sementara menunggu pelepasan air empangan.
Beliau turut mengingatkan pesawah tidak menangguhkan penanaman terlalu lama mengambil kira risiko fenomena El Nino dijangka bermula pada Jun selain kemungkinan banjir hujung tahun yang boleh menjejaskan hasil tuaian.
Selain itu, Ismail mengakui kenaikan kos diesel turut memberi kesan kepada operasi jentera pertanian, namun menegaskan angka peningkatan yang dilaporkan,iaitu keseluruhan lebih 50 peratus sebagai tidak tepat.
“Data menunjukkan kenaikan kos diesel memberi kesan kira-kira 27 hingga 30 peratus kepada jentera manakala peningkatan keseluruhan kos bagi pesawah sekitar 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah meningkatkan insentif pembajakan sehingga RM300 sehektar bagi membantu mengurangkan beban pesawah manakala permohonan subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masih dalam pertimbangan.
Semalam, media melaporkan kira-kira 90 peratus pesawah di negeri ini termasuk di kawasan MADA masih menangguhkan aktiviti penanaman padi bagi musim 1/2026 susulan peningkatan kos operasi dan kekangan bekalan air.
-- BERNAMA