Skip to main content

Dunia

Giuliani pulih daripada radang paru-paru, masih dalam keadaan kritikal

Former New York City Mayor and former lawyer for US President-elect Donald Trump, Rudy Giuliani walks outside United States District Court in Manhattan, in New York City, US, Jan 3, 2025. (Photo: REUTERS/David Dee Delgado)
Giuliani kini sudah boleh bernafas sendiri tanpa menggunakan bantuan pernafasan. - Foto REUTERS

NEW YORK: Bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani, kini dilaporkan sedang pulih daripada radang paru-paru dan sudah boleh bernafas sendiri, namun masih dirawat di hospital dalam keadaan kritikal tetapi stabil, menurut jurucakapnya, pada Isnin.

Giuliani, 81, dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap radang paru-paru dan sebelum ini memerlukan bantuan alat pernafasan bagi menstabilkan paras oksigen dalam tubuhnya. 

Advertisement

Jurucakapnya, Ted Goodman berkata, keadaan kesihatan Giuliani kini menunjukkan perkembangan positif.

Giuliani menjadi tokoh terkenal di peringkat antarabangsa pada 2001 apabila beliau memainkan peranan penting dalam memimpin usaha pemulihan New York susulan serangan 11 September ke atas Menara Pusat Dagangan Dunia (WTC). 

Namun, menurut jurucakap beliau, insiden tersebut turut menyebabkan Giuliani mengalami penyakit saluran pernafasan kronik yang bersifat menyekat.

“Keadaan ini menyebabkan sebarang penyakit berkaitan pernafasan menjadi lebih rumit, dan virus tersebut dengan cepat menjejaskan tubuhnya sehingga memerlukan bantuan ventilator bagi memastikan bekalan oksigen mencukupi serta menstabilkan keadaannya,” kata Goodman dalam satu hantaran di platform X.

Beliau turut memaklumkan, Giuliani kini sudah boleh bernafas sendiri tanpa menggunakan bantuan pernafasan.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu serta laporan Palm Beach Post, Giuliani dirawat di Good Samaritan Medical Centre di West Palm Beach, Florida, lokasi kediamannya dan dimasukkan ke hospital tersebut pada Ahad.

Bagaimanapun, reputasi Giuliani sebagai “Datuk Bandar Amerika”, gelaran yang diraih selepas tindak balasnya terhadap serangan al-Qaeda pada 2001, tercalar susulan usaha beliau yang gagal untuk membatalkan kekalahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam Pilihan Raya Presiden 2020.

Usaha itu membawa kepada beberapa pertuduhan jenayah terhadap Giuliani di dua negeri AS, selain saman fitnah yang difailkan oleh petugas pilihan raya. 

Giuliani bagaimanapun menafikan sebarang salah laku berkaitan kes-kes jenayah tersebut.

Datuk Bandar New York ketika ini, Zohran Mamdani dari Parti Demokrat, turut menitipkan doa agar Giuliani pulih sepenuhnya.

“Beliau telah lama menjadi tokoh penting dalam politik dan kehidupan awam bandar ini. 

"Saya tahu ramai warga New York bimbang dengan laporan mengenai keadaannya yang kritikal,” kata Mamdani pada Isnin. - Agensi

Must Watch Video