NAJIN dan Fatu merupakan badak sumbu putih Utara betina terakhir yang ada di dunia.

Malangnya, dua subspesies ini tidak mampu mengandung selepas kematian badak sumbu putih Utara jantan terakhir pada 2018.

Dengan hanya bergantung kepada Najin dan Fatu, subspesies itu kini berada di ambang kepupusan.

Berada di bawah jagaan Pusat Pemulihan dan Konservasi OI Pejeta di Kenya, pengkaji dan pakar konservasi ketika ini 'kesuntukan masa' untuk memastikan Najin dan Fatu boleh menghasilkan zuriat bagi memastikan subspesies itu terus kekal. 

Sel telur telah dikeluarkan daripada Najin dan Fatu, sementara sperma dikumpulkan daripada dua badak sumbu putih Utara jantan terakhir sebelum kematian keda-dua subspesies tersebut.

Menurut Ketua Penyelidikan dan Pemuliharaan Spesies di IO Pejeta, Samuel Mutisya, setakat Mei lalu, 18 telur dikumpul daripada Fatu telah menghasilkan lima embrio baharu di makmal Cremona, Itali.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kepada 29 (embrio) dan ia satu kejayaan besar kerana ini tidak pernah berlaku sejak kami memulakan projek ini dan ia memberikan harapan besar untuk pemulihan badak putih Utara," katanya memetik laporan AP.

Ujarnya, kesemua embrio disimpan dalam cecair nitrogen sebelum dipindahkan ke ibu tumpang iaitu seekor badak sumbu putih Selatan.

Ibu tumpang yang berpotensi telah dikenal pasti, dengan badak putih Selatan betina dipilih kerana memiliki persamaan dengan badak putih Utara.

Samuel menambah proses pemindahan embrio berkenaan dijangka dalam beberapa bulan atau tahun akan datang.

Sebelum ini, badak sumbu putih Utara jantan terakhir bernama Sudan disahkan mati pada Mac 2018, ketika usia  45 tahun.

Sementara, badak sumbu putih Utara jantan bernama Suni mati pada 2017.