Skip to main content

Dunia

Harvard setuju bayar AS$53 juta selesai saman berkaitan penjualan bahagian mayat

81765934275_HarvardMedicalSchool.jpg
Harvard setuju bayar AS$53 juta untuk selesai saman keluarga penderma mayat susulan skandal kecurian dan penjualan bahagian tubuh. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

BOSTON: Universiti Harvard bersetuju membayar AS$53 juta (kira-kira RM215 juta) bagi menyelesaikan saman yang difailkan oleh keluarga penderma mayat yang mendakwa institusi itu gagal mengendalikan jasad dengan sewajarnya sehingga bahagian tubuh mangsa dicuri dan dijual di pasaran gelap.

Persetujuan penyelesaian itu mendapat kelulusan awal seorang hakim mahkamah negeri di Boston pada Selasa dan melibatkan beberapa tindakan undang-undang yang difailkan selepas penahanan bekas pengurus rumah mayat Harvard Medical School, Cedric Lodge, pada 2023.

Lodge, yang berkhidmat hampir tiga dekad di rumah mayat sekolah perubatan berkenaan, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh mahkamah persekutuan pada Disember lalu selepas mengaku bersalah mencuri serta menjual organ dan bahagian tubuh mayat yang didermakan untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan perubatan.

Menurut pendakwa raya, sejak 2018, Lodge didakwa mencuri pelbagai bahagian tubuh termasuk kepala, muka, otak, kulit dan tangan daripada mayat yang disimpan di kemudahan Harvard sebelum membawanya ke kediamannya di Goffstown, New Hampshire.

Bahagian tubuh tersebut kemudiannya dijual dengan bantuan isterinya kepada pembeli di pasaran gelap, menurut dokumen mahkamah.

Berikutan pendedahan itu, puluhan ahli keluarga penderma memfailkan saman terhadap Harvard dengan mendakwa universiti berkenaan cuai dan gagal mengesan salah laku yang berlaku selama bertahun-tahun.

Mereka turut mendakwa pihak universiti menutup mata terhadap tindakan Lodge sehingga beliau didakwa secara rasmi pada tahun 2023.

Walaupun kes berkenaan pada mulanya ditolak oleh mahkamah, Mahkamah Agung Kehakiman Massachusetts pada Oktober tahun lalu menghidupkan semula prosiding tersebut.

Mahkamah berpendapat plaintif mempunyai asas yang munasabah untuk mendakwa Harvard gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dalam menguruskan mayat yang didermakan, selain membenarkan layanan yang disifatkan sebagai "mengerikan dan tidak bermaruah" berlarutan selama beberapa tahun.

Dalam mesej kepada komuniti kampus, Dekan Fakulti Perubatan Harvard, George Daley, dan Dekan Pendidikan Perubatan Harvard Medical School, Bernard Chang, menyifatkan tindakan Lodge sebagai perbuatan yang "keji, menjijikkan dan satu pengkhianatan terang-terangan terhadap nilai komuniti perubatan".

Selain pampasan kewangan, penyelesaian itu turut merangkumi komitmen Harvard Medical School untuk mengadakan sesi taklimat secara dalam talian kepada keluarga terbabit bagi mengesahkan bahawa perbuatan jenayah Lodge adalah salah dari segi moral dan tidak boleh diterima.

Harvard juga mengumumkan bahawa bermula sesi akademik 2027/2028, sekolah perubatan itu akan mewujudkan biasiswa tahunan bagi menghargai sumbangan semua penderma anatomi yang membantu pendidikan dan penyelidikan perubatan.

Peguam yang mewakili keluarga terbabit, John Morgan, berkata penyelesaian kes itu diharap dapat memastikan insiden seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan.

"Kami berharap penyelesaian ini dapat memastikan perkara seperti ini tidak akan menimpa mana-mana keluarga lagi," katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement