KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke dua mesyuarat peringkat menteri di Bangkok pada Selasa bagi memperkukuh kerjasama dua hala dengan Thailand serta memajukan projek kesalinghubungan sempadan antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Mohamad akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Thailand (JCM) ke-16 dan Mesyuarat Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) ke-7 dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow.
"Kedua-dua menteri akan menilai kemajuan kerjasama dua hala dan membincangkan langkah untuk terus memperkukuh hubungan antara Malaysia dengan Thailand.
"Antara bidang utama yang akan dibincangkan termasuk kerjasama politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, hubungan sosial dan kebudayaan serta pembangunan kawasan sempadan, khususnya pelaksanaan projek kesalinghubungan antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu juga akan mengambil kira hasil lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul ke Malaysia pada 9 hingga 10 Julai tahun ini.
Mohamad akan diiringi pegawai kanan kerajaan daripada agensi berkaitan, manakala mesyuarat peringkat menteri itu akan didahului dengan mesyuarat pegawai kanan.
Pada 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah perdagangan bernilai RM118.57 bilion (US$27.73 bilion).
Perdagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 pula mencecah RM97.76 bilion (US$24.37 bilion), meningkat berbanding RM77.38 bilion (US$17.85 bilion) dalam tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA