DUNIA
Helikopter bawa bantuan terhempas di Pakistan, banjir ragut 227 nyawa

Keadaan kemusnahan yang berlaku susulan banjir kilat akibat hujan lebat di kawasan kejiranan Mingora, bandar utama Lembah Swat, barat laut Pakistan, 15 Ogos 2025. (Foto AP)
ISLAMABAD/ISTANBUL: Sebuah helikopter yang membawa bekalan bantuan terhempas, mengorbankan lima kru termasuk dua juruterbang, di wilayah barat laut Pakistan, Khyber Pakhtunkhwa, ketika hujan lebat dan tragedi banjir telah meragut 227 nyawa di seluruh negara.
Helikopter Mi-17 milik kerajaan wilayah itu sedang membawa bekalan bantuan ke kawasan yang terjejas akibat hujan lebat apabila ia terhempas "disebabkan cuaca buruk," lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Ketua Menteri wilayah itu, Ali Amin Gandapur.
Hujan dan banjir telah mengorbankan 227 orang, termasuk 206 di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menurut stesen penyiar tempatan Geo.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata ramai lagi mangsa masih hilang.Kematian turut dilaporkan di wilayah Gilgit-Baltistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Jurucakap pasukan penyelamat wilayah, Bilal Ahmed Faizi, sebelum ini memberitahu Anadolu melalui telefon bahawa hujan lebat dan hujan badai telah menyebabkan banjir besar di Khyber Pakhtunkhwa.
Pasukan penyelamat memaklumkan hujan lebat dan hujan badai pada pagi Jumaat telah menyebabkan banjir besar di kawasan Salarzai, daerah Bajaur, yang mengakibatkan beberapa rumah dihanyutkan.
Gandapur berkata helikopter yang terhempas itu sedang membawa bekalan ke kawasan Bajaur.
Pihak berkuasa tempatan telah memindahkan ramai penduduk ke kawasan lebih selamat susulan hujan dan tanah runtuh di Khyber Pakhtunkhwa serta wilayah Gilgit-Baltistan.
NDMA memberi amaran mengenai satu lagi fasa hujan monsun bermula Jumaat hingga 10 Sept.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa kenaikan suhu mempercepatkan pencairan salji dan glasier di kawasan tanah tinggi, sekali gus meningkatkan aliran air sungai.
Hujan monsun yang biasanya berlaku dari Jun hingga September sering menyebabkan kemusnahan di seluruh Asia Selatan, termasuk Pakistan, namun perubahan iklim telah menjadikan corak hujan semakin tidak menentu dan lebih ekstrem dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami