CHAMOLI: Sebuah helikopter komersial yang membawa enam individu dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan Himalaya di utara India selepas hilang daripada radar pada petang Jumaat.
Helikopter berkenaan membawa lima penumpang dan seorang juruterbang dalam penerbangan dari destinasi ziarah di Badrinath menuju ke Sahastradhara di Dehradun, ibu negeri Uttarakhand.
Pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi pencarian udara menggunakan helikopter lain selepas terputus hubungan dengan pesawat tersebut berhampiran kawasan Hathi Parvat.
Ketua Menteri Uttarakhand Pushkar Singh Dhami mengesahkan insiden itu menerusi hantaran di platform X dan memaklumkan helikopter berkenaan terhempas berhampiran Kampung Chaien, dekat Joshimath.
चाई गांव, जोशीमठ के निकट हेलीकॉप्टर क्रैश होने की दुर्भाग्यपूर्ण सूचना प्राप्त हुई है। जिला प्रशासन, आपदा प्रबंधन विभाग, एसडीआरएफ द्वारा संयुक्त रूप से रेस्क्यू ऑपरेशन चलाया जा रहा है।
स्वयं भी पूरे घटनाक्रम की निरंतर निगरानी कर रहा हूं। गंभीर रूप से घायलों को तत्काल एयरलिफ्ट…— Pushkar Singh Dhami (@pushkardhami) October 30, 2026
Beliau berkata operasi menyelamat bersepadu sedang dijalankan melibatkan pelbagai unit bantuan khas negeri dan kebangsaan.
Dhami turut mengarahkan supaya mana-mana mangsa yang mengalami kecederaan serius diterbangkan segera ke pusat perubatan bagi mendapatkan rawatan.
Helikopter yang dikendalikan syarikat swasta Trans Bharat Aviation itu dilaporkan terputus hubungan ketika cuaca buruk melanda kawasan berkenaan, termasuk hujan berterusan dan jarak penglihatan yang rendah.
Pasukan penyelamat darat dilaporkan berjaya mengecilkan kawasan pencarian sebelum mengesan lokasi nahas selepas melihat kepulan asap berhampiran kawasan berbukit di atas Kampung Chaien.