Skip to main content

Malaysia

Hakim Danish beri amaran di sesi latihan bebas pertama

Hakim Danish  yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi pada sesi latihan menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 di SIC hari ini.  - Gambar Bernama
Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi pada sesi latihan menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 di SIC hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

Advertisement

SEPANG: Pelumba muda sensasi negara Hakim Danish Ramli memberi amaran awal kepada pencabarnya apabila mencatat masa kelima terpantas pada sesi latihan bebas pertama (FP1) kelas Moto3 Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.

Pelumba berusia 19 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu merekodkan masa 2 minit 11.834 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima, ketinggalan 0.249s di belakang pelumba Sepanyol Alvaro Carpe daripada pasukan Red Bull KTM Ajo, yang muncul terpantas dengan catatan 2:11.585s.

Pelumba Sepanyol Maximo Quiles daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team menduduki tempat kedua dengan masa 2:11.714s, diikuti rakan sepasukannya Marco Morelli dari Argentina yang mencatat 2:11.720s.

Advertisement

Pelumba Indonesia Veda Pratama daripada pasukan Honda Team Asia melengkapkan kelompok empat terpantas dengan catatan 2:11.819s, hanya 0.015s di hadapan Hakim Danish.

Seorang lagi pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, Ryusei Yamanaka dari Jepun, menamatkan sesi di tempat ke-13 dengan masa 2:12.397s.

Advertisement

Mengulas prestasi Hakim Danish, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata pelumba itu telah memberikan yang terbaik tanpa dibebani tekanan dan hanya perlu memberi tumpuan kepada sesi kelayakan esok bagi merebut petak hadapan.

“Macam saya cakap, tiada tekanan untuk Hakim Danish dan beliau telah mencuba yang terbaik. Kita nampak pagi ini (litar) masih kering, belum ada lagi hujan. 

“Paling penting kelayakan esok bagi memastikan beliau berada di petak hadapan sebelum menghadapi perlumbaan Ahad ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan bebas di sini hari ini. 

Dalam kelas MotoGP, pelumba Sepanyol Marc Marquez daripada pasukan Ducati Lenovo Team muncul terpantas selepas mencatat masa 1:58.737s meninggalkan pencabar Itali Marco Bezzecchi daripada pasukan Aprilia Racing di tempat kedua dengan masa 1:59.386s

Pelumba Sepanyol Pedro Acosta daripada pasukan Red Bull KTM Factory Racing berada di tempat ketiga dengan catatan masa yang sama, manakala Enea Bastianini dari Itali yang mewakili pasukan Red Bull KTM Tech3 turut mencatat masa 1:59.386s untuk menduduki tempat keempat. 

Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba Sepanyol Izan Guevara daripada pasukan BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 mencatat masa terpantas 2:04.005s di hadapan pelumba Colombia David Alonso daripada CFMOTO RCB Aspar Team yang berada di tempat kedua dengan masa 2:04.568s manakala rakan sepasukannya dari Sepanyol Daniel Holgado mencatat masa yang sama.

Sesi latihan bebas pertama berlangsung dalam keadaan litar kering dengan suhu udara 28 darjah Celsius dan kelembapan 82 peratus.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement