NEW YORK: Semalam (Rabu) sepatutnya menjadi penampilan pertama Presiden Ukraine, Volodomyr Zelenskiy secara langsung dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pencerobohan Moscow ke negaranya.

Bagaimanapun, Duta Besar Rusia, Vassily Nebenzia, membantah Zelenskiy berucap pada awal mesyuarat berkenaan.

Perdana Menteri Albania, Edi Rama sebagai pengerusi mesyuarat yang berlangsung dalam suasana tegang itu menjawab dengan penuh sindiran kepada Moscow yang selama ini menegaskan, pencerobohan ke atas Ukraine tidak dianggap sebagai perang, sebaliknya, hanyalah “operasi khas ketenteraan.”

"Saya ingin meyakinkan rakan sejawatan dari Rusia, kami dan semua orang di sini bahawa ini bukanlah operasi khas oleh Presidensi Albania," kata Rama.

"Ada penyelesaian untuk ini," kata Rama kepada Nebenzia: "Jika anda bersetuju, anda hentikan perang dan Presiden Zelenskiy tidak akan berucap."

Bagaimanapun, Nebenzia tidak bersetuju dengan gesaan dilakukan Rama itu.

Nebenzia, sebaliknya, menyifatkan sesi berkenaan sebagai satu pertunjukan dan mengkritik Rama kerana mengeluarkan kenyataan yang bermotifkan politik daripada bertindak sebagai pengendali mesyuarat yang neutral.

Sejurus berakhir sesi itu, Zelenskiy merakamkan penghargaan kepada Rama di media sosialnya sambil memberitahu pemimpin Albania itu yang juga seorang artis dan bekas pemain bola keranjang telah memperlihatkan kepada kepada dunia “bagaimana caranya untuk memperbetulkan Rusia termasuk pembohongan dan sifat kepura-puraan negara itu.”

Dalam usaha untuk memberi justifikasi berhubung pencerobohannya itu, Moscow  mendakwa, hasrat Ukraine untuk menjalin integrasi dengan Barat – termasuk Perjanjian Atlantik Utara (NATO) – merupakan ancaman terhadap keselamatan Rusia iaitu satu dakwaan yang dinafikan oleh Kyiv dan sekutunya sebagai alasan yang tidak berasas untuk menyerang.

Apabila diberikan peluang untuk berucap selepas perdebatan itu, Zelenskiy meminta agar Rusia dicabut hak veto sebagai salah satu daripada lima ahli tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas Perang Dunia Kedua sebagai hukuman atas serangan terhadap Ukraine.

Tampil di bilik mesyuarat itu selepas Zelenskiy beredar, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mempertahakan hak veto Moscow sebagai sah dan menuduh Kyiv serta Barat mengikut prinsip-prinsip Piagam PBB 1945 secara selektif hanya apabila bersesuaian dengan mereka. - Reuters