GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu berkata kemusnahan Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza menjadikannya umpama sebuah cangkerang kosong dengan pusara manusia susulan kepungan dan serangan terkini Israel.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dalam hantarannya di laman X bahawa satu pasukan daripada WHO dan rakan kongsi melawat Al-Shifa untuk menilai keadaan di hospital itu selepas tentera Israel menamatkan kepungan dan serangan selama dua minggu ke atas kemudahan itu yang mengakibat kemusnahan besar dan kematian pesakit dan staf perubatan.

"@WHO dan rakan kongsi berjaya sampai ke Al-Shifa - satu ketika dahulu merupakan tulang belakang sistem kesihatan di #Gaza, yang kini umpama sebuah cengkerang kosong dengan pusara manusia selepas kepungan dan serangan terkini. Pasukan itu menyaksikan sekurang-kurangnya lima mayat semasa lawatan itu," kata Ghebreyesus.

"Kebanyakan daripada bangunan di kompleks hospital itu musnah dan majoriti daripada asetnya rosak atau musnah menjadi abu. Malah untuk memulihkan fungsi minimum hospital itu dalam jangka masa pendek adalah mustahil," katanya.

Beliau menekankan keperluan melakukan satu penilaian mendalam oleh sepasukan jurutera untuk memastikan sama ada bangunan yang tinggal selamat untuk kegunaan akan datang.

Misi yang diketuai WHO akhirnya dapat memasuki hospital itu pada Jumaat selepas pelbagai usaha gagal sejak 25 Mac lepas.

Beliau berkata usaha terbaharu WHO dan rakan-rakan kongsi lain untuk menghidupkan kembali perkhidmatan asas di Hospital Al-Shifa kini terhenti dan penduduk di sana sekali lagi tidak dapat mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan dan untuk menyelamatkan nyawa.

Menurut WHO, daripada 36 hospital utama di Gaza, hanya 10 yang tinggal dan tidak berfungsi sepenuhnya.

Ghebreyesus berkata tindakan segera diperlukan di Gaza memandangkan peningkatan kebuluran, penularan penyakit dan kecederaan trauma dalam kalangan penduduk Gaza yang terperangkap.

Beliau menyeru kepada perlindungan kepada kemudahan kesihatan yang tinggal di Gaza, pekerja perubatan dan bantuan kemanusiaan selain daripada membuka laluan tambahan bagi memudahkan akses ke utara Gaza.

Beliau juga menyeru kepada sebuah mekanisme penyelesaian konflik, tiada halangan kepada bantuan kemanusiaan ke seluruh Semenanjung Gaza dan satu gencatan senjata.

-- BERNAMA