BEIJING: Hujan lebat berterusan yang dibawa Taufan Saudel menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah di timur serta selatan China, mengorbankan nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Di wilayah Jiangxi, tanah runtuh yang melanda Kampung Mingkeng di Daerah Suichuan awal Sabtu mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, manakala sembilan lagi masih hilang. Bencana itu turut merosakkan sekurang-kurangnya 12 buah rumah.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada ratusan anggota kecemasan digerakkan ke kawasan terjejas untuk mencari mangsa yang masih tertimbus di bawah timbunan tanah dan runtuhan.
Lebih 5,000 penduduk turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Media kerajaan China melaporkan hujan berterusan akibat Taufan Saudel turut mengakibatkan kematian di wilayah Hunan, selain mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh dan bencana berkaitan cuaca buruk.
Saudel dilaporkan mendarat dua kali di wilayah Zhejiang pada penghujung Ogos sebelum mendarat sekali lagi sebagai ribut tropika di wilayah Fujian pada 3 Sept.
Kedua-dua wilayah itu berjiran dengan Jiangxi yang menerima taburan hujan luar biasa sejak beberapa hari lalu.
Di Fujian, pihak berkuasa melaporkan beberapa penduduk masih belum dapat dikesan selepas hujan lebat menyebabkan banjir besar dan kerosakan infrastruktur.
Lebih 100 rumah runtuh di bandar Putian, manakala benteng yang pecah mengakibatkan beberapa kampung ditenggelami air.
Menurut agensi berita Xinhua, kira-kira 600,000 penduduk telah dipindahkan dari kawasan berisiko di Fujian setakat hujung minggu lalu.
Rakaman media tempatan menunjukkan jalan raya bertukar menjadi sungai, dengan bot digunakan untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap.
Pihak berkuasa China kini meneruskan operasi menyelamat dan pemulihan di kawasan terjejas sambil memantau risiko tanah runtuh susulan serta banjir berikutan cuaca buruk yang masih berterusan.