Skip to main content

Dunia

Hujan lebat cetus banjir di Bali, Indonesia

ditsamapta_poldabali
Beberapa vila dan hotel ditenggelami air, sekali gus menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan itu. - Instagram @niluhjelantik

JAKARTA: Hujan lebat mencetuskan banjir teruk di beberapa kawasan di pulau peranginan Bali, Indonesia, menenggelamkan kawasan di Denpasar, khususnya di Sanur, serta mendorong pemindahan puluhan pelancong asing, menurut pihak berkuasa tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.

Kawasan yang paling terjejas termasuk Jalan Bumi Ayu dan Jalan Kesari di Sanur, serta Jalan Gunung Athena di Denpasar. Di lokasi berkenaan, paras air banjir mencecah sehingga 1.5 meter, atau kira-kira paras dada bagi orang dewasa. Beberapa vila dan hotel ditenggelami air, sekali gus menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan itu.

Advertisement

Pasukan mencari dan menyelamat daripada Polis Bali dikerahkan pada pagi Selasa. Seramai 14 anggota, dilengkapi empat kano dan sebuah bot getah, digerakkan bagi menjalankan operasi pemindahan.

“Setakat ini, lima tetamu telah dipindahkan, dan tujuh lagi dipindahkan di kawasan utara,” kata penyelaras pasukan Gede Sutrawan seperti dipetik media tempatan.

Banjir itu berlaku selepas beberapa hari hujan lebat melanda sebahagian besar Bali. Pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan berterusan boleh memanjangkan atau memburukkan keadaan, serta menggesa penduduk dan pelawat supaya terus berwaspada dan mematuhi nasihat keselamatan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video