SINGAPURA: Singapura mencatat peningkatan mendadak serangan siber sejak September tahun ini, dengan purata bulanan insiden siber yang dilaporkan meningkat tiga kali ganda berbanding purata bagi tempoh Januari hingga Ogos, menurut Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).
Agensi itu memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau perkembangan berkenaan dengan teliti dan menggesa organisasi mengambil langkah segera untuk memperkukuh pertahanan siber masing-masing susulan peningkatan cubaan pihak yang melakukan ancaman siber mengeksploitasi kelemahan sistem yang terdedah serta sistem yang tidak dilindungi dengan secukupnya.
“Insiden ini tidak kelihatan sebagai sebahagian daripada kempen serangan terancang yang menyasarkan Singapura, sebaliknya mencerminkan trend global serangan yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan keselamatan.
“Sesetengah insiden turut melibatkan pembekal pihak ketiga yang sistemnya telah diceroboh, sekali gus menekankan kepentingan pengurusan risiko rantaian bekalan,” menurut agensi itu dalam kenyataan pada Jumaat.
CSA memaklumkan bahawa peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh pihak yang melakukan ancaman siber boleh mempercepat proses mengenal pasti dan mengeksploitasi kelemahan keselamatan, sekali gus memendekkan tempoh yang ada bagi organisasi melindungi sistem masing-masing.
Agensi itu menegaskan bahawa serangan siber semakin bersifat oportunis, dengan pihak yang melakukan ancaman siber giat mengimbas Internet untuk mencari sistem yang mempunyai kelemahan keselamatan, menyebabkan organisasi tetap berdepan risiko walaupun tidak menjadi sasaran khusus.
CSA turut memberikan taklimat kepada semua sektor infrastruktur maklumat kritikal (CII) dan sedang bekerjasama rapat dengan pemilik CII untuk memperkukuh pertahanan siber mereka.
“CSA juga telah mengadakan libat urus dengan persatuan perdagangan dan dewan perniagaan utama bagi membantu perniagaan memahami ancaman yang semakin berkembang serta mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian,” menurut agensi itu.
-- BERNAMA