TOKYO: Hujan lebat melanda beberapa kawasan di tengah Jepun pada Khamis, mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir serta menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air, lapor Kyodo News.
Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran khas hujan lebat bagi beberapa kawasan di wilayah Ishikawa dan Toyama, sambil menggesa penduduk berpindah atau segera mengambil langkah keselamatan berikutan keadaan yang boleh mengancam nyawa.
Amaran Tahap 5, iaitu tahap tertinggi bagi hujan lebat yang menunjukkan bencana berkemungkinan telah berlaku atau hampir berlaku, dikeluarkan bagi Himi di wilayah Toyama serta Hakui, Shika, Hodatsushimizu dan Nakanoto di wilayah Ishikawa.
Penduduk turut digesa mematuhi arahan pemindahan pihak berkuasa tempatan dan terus berwaspada terhadap risiko tanah runtuh.
Kira-kira 180,000 penduduk di lima kawasan perbandaran di kedua-dua wilayah itu dinasihatkan mengambil langkah keselamatan.
Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, menurut kerajaan wilayah Ishikawa.
Dalam tempoh 12 jam hingga 7.20 pagi, hujan melebihi 300 milimeter (mm) direkodkan di Himi dan Hakui, manakala lebih 200 mm di Hodatsushimizu, sekali gus mencatat rekod baharu di setiap lokasi.
Bagi tempoh 24 jam hingga tengah hari Jumaat, taburan hujan sehingga 200 mm dijangka di Hokuriku, manakala sehingga 150 mm hujan di wilayah Kanto-Koshin dan Tokai.
Awal bulan ini, amaran Tahap 5 turut dikeluarkan di beberapa kawasan perbandaran di wilayah Chiba berhampiran Tokyo selepas hujan lebat mencetuskan banjir yang meragut 13 nyawa.
-- BERNAMA-KYODO