Skip to main content

Dunia

ICC undi pecat ketua pendakwa Karim Khan, pasukan guaman akan cabar keputusan

51743687907_ICC.jpg
Advertisement

WASHINGTON: Negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat mengundi untuk memecat Ketua Pendakwa Karim Khan susulan dakwaan salah laku seksual, menurut pasukan guamannya yang berikrar mencabar keputusan itu menerusi semua saluran perundangan yang ada, lapor Anadolu Ajansi.

Tayab Ali, rakan kongsi Bindmans LLP yang mengetuai pasukan guaman Khan, berkata Perhimpunan Negara-Negara Pihak mengetepikan kebimbangan serius mengenai tatacara perundangan dan tetap memecat Khan walaupun tiada dapatan sah bahawa beliau melakukan salah laku.

Khan sejak awal menafikan semua dakwaan salah laku seksual terhadapnya.

Sebanyak 82 daripada 125 negara anggota ICC menyokong pemecatan Khan dalam undian sulit di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, manakala 13 mengundi menentang dan 15 berkecuali.

“Perhimpunan memutuskan menerusi sokongan majoriti 82 negara pihak bahawa pegawai yang dipilih, iaitu Pendakwa Karim Khan telah melakukan salah laku serius dan pelanggaran tugas yang berat... serta memecat beliau daripada jawatan,” kata Presiden badan pentadbir ICC, Paivi Kaukoranta.

Khan merupakan ketua pendakwa pertama yang dipecat dalam sejarah mahkamah itu.

Undian berkenaan diadakan susulan siasatan dan syor biro eksekutif badan pentadbir ICC agar Khan dipecat selepas badan itu merumuskan bahawa beliau menjalin hubungan seksual yang tidak wajar dengan seorang kakitangan bawahan.

Khan digantung tugas pada Jun sementara prosiding tatatertib diteruskan, dengan pejabat pendakwaan dikendalikan oleh timbalan-timbalan pendakwa sepanjang ketiadaan beliau.

Pemecatannya tidak menjejaskan siasatan atau waran tangkap sedia ada yang dikeluarkan ICC kerana hanya hakim mahkamah itu berkuasa menarik balik atau memindanya.

Negara anggota kini dijangka memulakan proses memilih pengganti Khan.

Menurut Ali, Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB menjalankan siasatan selama setahun dan mengemukakan 137 hasil siasatan, namun tiada satu pun merumuskan bahawa Khan melakukan salah laku.

Beliau berkata laporan serta bukti berkaitan kemudian diteliti panel bebas yang dianggotai tiga hakim kanan antarabangsa.

Panel itu pada 9 Mac sebulat suara memutuskan bahawa hasil siasatan berkenaan tidak membuktikan berlaku salah laku atau pelanggaran tugas berdasarkan kerangka undang-undang yang terpakai, katanya.

Bagaimanapun, peguam Khan berhujah bahawa keputusan Perhimpunan itu tetap dibuat berdasarkan syor Biro badan pentadbir ICC yang disifatkan sebagai bermotif politik.

Mereka mendakwa Khan dan wakil guamannya tidak dibenarkan menyampaikan hujah kepada Perhimpunan sebelum undian, selain prosedur turut diubah ketika kes sedang berlangsung.

Perubahan itu menggantikan undian berasingan yang memerlukan majoriti dua pertiga bagi menentukan sama ada salah laku serius berlaku dengan satu usul yang hanya memerlukan majoriti mutlak.

Ali berkata keputusan berkenaan dicapai menerusi proses yang menyebabkan Khan “tidak pernah diberi peluang adil untuk didengari”.

Pasukan guamannya berkata Khan akan mencabar keabsahan keputusan itu serta keadilan proses pemecatannya.

Pada Mei 2024, pejabat Khan memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan ketika itu Yoav Gallant serta beberapa pemimpin Hamas atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan perang di Gaza.

ICC kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu, Gallant dan komander tentera Hamas Mohammed Deif.

Tindakan itu dikecam Israel dan Amerika Syarikat (AS), yang kemudiannya mengenakan sekatan terhadap Khan serta beberapa pegawai ICC lain.

Susulan undian berkenaan, Jabatan Negara AS berkata keputusan itu tidak akan mengubah rancangan pentadbiran Trump untuk membubarkan mahkamah yang disifatkannya sebagai “korup”.

“Karim Khan ialah contoh nyata korupsi ICC dan penyalahgunaan kuasa yang didakwanya dimiliki.

“Adalah baik beliau tiada, namun beliau hanyalah satu komponen kecil dalam institusi korup yang tidak lagi dapat dipulihkan ini.

“Hasil keputusan hari ini tidak akan menjejaskan rancangan Amerika Syarikat untuk membubarkan ICC,” kata jurucakap Tommy Pigott menerusi X.

Pemecatan Khan berlaku ketika pentadbiran Trump memperbaharui kritikan terhadap ICC.

Ketika berucap di Filipina pada Khamis, Setiausaha Negara Marco Rubio berkata terdapat “golongan tidak waras dan melampau dalam ICC” serta menegaskan bahawa tiada pegawai politik atau tentera AS akan dibicarakan di mahkamah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement