Skip to main content

Malaysia

PM Anwar zahir dukacita susulan tragedi perlanggaran kereta api di Sepanyol

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap kehilangan nyawa akibat insiden tragis perlanggaran kereta api di Sepanyol. - Gambar AP
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap kehilangan nyawa akibat insiden tragis perlanggaran kereta api di Sepanyol. - Gambar AP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap kehilangan nyawa akibat insiden tragis perlanggaran kereta api di Sepanyol. 

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, Malaysia teguh bersolidariti dengan rakyat Sepanyol pada masa yang sukar ini. 

“Ingatan dan doa kami bersama dengan semua mereka yang kehilangan insan tersayang, dan kami mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera,” kata beliau.

Anwar turut memberikan penghormatan kepada petugas kecemasan dan mereka yang bekerja tanpa mengenal penat di lokasi kejadian.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada Perdana Menteri Pedro Sanchez, kerajaan dan rakyat Sepanyol, terutamanya kepada keluarga mangsa,” kata beliau.

Semalam, media melaporkan angka korban akibat perlanggaran kereta api berkelajuan tinggi pada Rabu di bahagian tengah Sepanyol meningkat kepada sekurang-kurangnya 68 orang, menurut kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, menjadikannya lebih buruk berbanding kemalangan kereta api berhampiran Adamuz pada Januari lepas.

Kedutaan Malaysia di Madrid bagaimanapun belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas dalam perlanggaran itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement