Skip to main content

Politik

PRN Melaka: “Kita sudah bernikah berkadi, kalau bercerai pun ada talak” - Ab Rauf

Menurut Ab Rauf, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional telah mencapai persefahaman yang baik dan bersetuju untuk bergerak bersama dalam menghadapi pilihan raya pada 14 November ini. - Gambar Astro AWANI/ FIRDUAS MOHARI
Menurut Ab Rauf, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional telah mencapai persefahaman yang baik dan bersetuju untuk bergerak bersama dalam menghadapi pilihan raya pada 14 November ini. - Gambar Astro AWANI/ FIRDUAS MOHARI

Advertisement

MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) Melaka menjangkakan tiada pertembungan kerusi antara Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kesepakatan kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persefahaman yang baik dan bersetuju untuk bergerak bersama dalam menghadapi pilihan raya pada 14 November ini.

Ketua Menteri Melaka itu turut menolak spekulasi kemungkinan BN dan PN bertembung seperti yang berlaku di Johor, walaupun dua gabungan itu menjalin kerjasama.

“Tidak mungkin berlaku (pertembungan kerusi) kerana telah berada dalam satu kesepakatan silaturahim yang baik.

“Saya rasa tak mungkin bertembung. Kerana di Melaka ini ia tak sama dengan Johor dan tak sama dengan Negeri Sembilan.

“Di sini kita sudah bernikah dengan berkadi, nanti kalau bercerai pun ada talak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026, di sini pada Khamis.

Ab Rauf berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam telah memutuskan PN sebagai rakan strategik BN, dengan kedua-dua pihak turut bersetuju menyelaraskan gerak kerja pilihan raya serta berkongsi manifesto yang sama.

Pengarah Pilihan Raya BN itu menambah, kerjasama tersebut akan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk dari segi penyelarasan jentera pilihan raya bagi memastikan kedua-dua pihak bergerak seiring.

“Semua sama (gerak kerja jentera) Di mana ada kita, di situ ada dia (PN). Jadi jangan ada dusta di antara kita,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, MCA turut bersetuju menerima kawasan yang diperuntukkan kepada parti itu untuk ditandingi, sekali gus memperlihatkan kesepakatan dalam kalangan parti komponen BN.

Beliau menyifatkan persetujuan itu sebagai hasil persefahaman kekeluargaan yang baik antara UMNO dan MCA.

Malam tadi, BN mengesahkan memeterai perjanjian persefahaman politik dengan PN bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16, yang dijadual 14 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perjanjian yang ditandatangani di Menara Dato Onn, itu diabsahkan pada Mesyuarat MKT UMNO, selain turut bersetuju BN dan PN melancarkan Manifesto Pilihan Raya bersama.

BN meletakkan 21 calon pada PRN kali ini, manakala tujuh kerusi lagi diberikan kepada Pas dan rakan kerjasamanya.

 

Must Watch Video

Advertisement