MEKAH: Imam Masjidil Haram, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais menegaskan, Ramadan merupakan satu musim untuk membentuk kesan berpanjangan dan menyucikan jiwa melalui kewarakan, yang merupakan matlamat utama ibadah puasa.
Dalam khutbah Jumaat di Masjidil Haram pada Jumaat, beliau menjelaskan, hakikat sebenar puasa dizahirkan menerusi tutur kata yang jujur serta amal soleh, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Advertisement
Beliau turut menyeru umat Islam agar memanfaatkan bulan suci ini untuk memperkukuh ikatan kekeluargaan dan mempromosikan solidariti sosial, selaras dengan sunnah Rasulullah SAW.
Sheikh Al-Sudais menekankan bahawa manfaat sepenuhnya Ramadan terletak pada keupayaan menterjemah nilai-nilainya menjadi sahsiah yang kekal.
Tegas beliau, ibadah adalah satu perjalanan berterusan yang harus diteruskan walaupun selepas berakhirnya bulan berkenaan.
-- BERNAMA