Skip to main content

Dunia

India anjur Sidang Kemuncak BRICS bulan depan

71768339702_BRICSlogo.jpg
Kementerian Luar India berkata sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS serta jemputan luar. - Gambar fail
Advertisement

NEW DELHI: India akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi pada 12 dan 13 September, menurut kenyataan rasmi pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian Luar India berkata sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS serta jemputan luar.

Menurut kementerian itu, para pemimpin akan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara BRICS berkaitan keutamaan bersama, selain berkongsi perspektif mengenai isu global dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.

India berkata sepanjang tempoh kepengerusiannya tahun ini, lebih 350 mesyuarat dan libat urus peringkat tinggi telah diadakan di lebih 25 bandar di seluruh negara bagi memperkukuh perkongsian strategik BRICS.

“Kepengerusian India dalam BRICS telah menyumbang kepada usaha memajukan kerjasama BRICS menerusi hasil yang praktikal dan berorientasikan pembangunan,” menurut kementerian itu.

India kini memegang jawatan pengerusi BRICS, blok 11 anggota yang pada mulanya dikenali sebagai BRIC dan dianggotai Brazil, Rusia, India serta China.

Afrika Selatan menyertai blok itu pada 2010, manakala beberapa negara lain turut menyertainya pada tahun-tahun berikutnya termasuk Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia, Indonesia dan Iran.

Secara keseluruhan, negara BRICS mewakili lebih 40 peratus daripada populasi dunia dan lebih 32 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, manakala nilai perdagangan sesama anggota melebihi US$1 trilion pada 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement