Ringkasan AI
- Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, meletak jawatan enam hari selepas nahas dua kereta api berkelajuan tinggi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 69 orang.
- Nahas berlaku berhampiran bandar Urda, selatan Madrid, melibatkan kereta api Renfe dan Iryo, serta disifatkan antara tragedi terburuk dalam sejarah moden Eropah.
- Siasatan awal mendapati kegagalan sistem isyarat automatik dan arahan kawalan pusat menjadi punca, mencetuskan persoalan mengenai prosedur keselamatan semasa gangguan sistem.
MADRID: Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, meletakkan jawatan enam hari selepas nahas membabitkan dua kereta api berkelajuan tinggi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 69 orang serta mencederakan puluhan yang lain.
Menurut laporan BBC, Puente mengumumkan keputusan itu di Kongres selepas memberi keterangan mengenai tragedi yang berlaku berhampiran bandar Urda, di selatan Madrid, minggu lalu.
Dalam nahas berkenaan, sebuah kereta api milik pengendali negara Renfe yang membawa 397 penumpang merempuh bahagian belakang sebuah kereta api milik syarikat swasta Iryo yang berhenti di landasan sama dengan 147 penumpang di dalamnya.
"Seseorang menteri pengangkutan di negara seperti Sepanyol tidak boleh terus memegang jawatan selepas dua kemalangan serius berlaku dalam tempoh kurang setahun," katanya sambil merujuk kepada satu lagi nahas di laluan sama pada Januari lalu yang meragut 46 nyawa.
Menurut BBC, beliau turut mengumumkan akan menarik diri daripada senarai calon bagi pilihan raya umum tergempar yang dijadualkan pada 29 November.
Nahas terbaru itu disifatkan sebagai antara tragedi kereta api paling buruk dalam sejarah moden Eropah dan yang terburuk di Sepanyol sejak 2013.
Laporan BBC menyebut siasatan awal mendapati kegagalan sistem isyarat automatik menyebabkan semua kereta api di laluan terbabit diarahkan berhenti.
Namun, rakaman audio yang bocor kepada media Sepanyol menunjukkan pusat kawalan dipercayai memberi kebenaran kepada kereta api Renfe untuk meneruskan perjalanan pada kelajuan biasa walaupun sebuah lagi kereta api masih berhenti kira-kira 25 kilometer di hadapan.
Rakaman lain turut menunjukkan pemandu kereta api Iryo beberapa kali memaklumkan bahawa tren berkenaan tidak dapat bergerak berikutan masalah sistem kawalan.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai prosedur keselamatan yang digunakan ketika gangguan sistem berlaku.
BBC melaporkan bahawa Puente sendiri minggu lalu menyifatkan arahan supaya kedua-dua kereta api meneruskan perjalanan tanpa sebarang had kelajuan sebagai sesuatu yang "sukar dijelaskan".
Peletakan jawatan beliau dilihat menambah tekanan terhadap kerajaan pimpinan Parti Sosialis menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir.