India beli peluru berpandu UK bernilai AS$468 juta

Starmer (kiri) dan Modi menghadiri Forum CEO India-UK di Pusat Konvensyen Dunia Jio, Mumbai, India. - Foto AP
NEW DELHI: India akan membeli peluru berpandu bernilai AS$468 juta (RM2 bilion) daripada United Kingdom ketika kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan pertahanan mereka.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Britain pada Khamis, kontrak itu melibatkan pembelian "Lightweight Multirole Missiles" (LMM) yang dikeluarkan di Belfast, Ireland Utara.
Peluru berpandu pertahanan udara dan pelancar yang akan dihasilkan untuk tentera India adalah sama seperti yang kini dibuat di Belfast bagi kegunaan Ukraine, menurut kenyataan itu.
Britain juga mengumumkan "pencapaian baharu" dalam usaha bersama membangunkan enjin berkuasa elektrik untuk kapal tentera laut apabila kedua-dua negara menandatangani "Pengaturan Pelaksanaan" untuk memajukan kerjasama ke peringkat seterusnya.Perjanjian itu bernilai permulaan kira-kira AS$335 juta (RM1.4 bilion).
Perdana Menteri Britain Keir Starmer, yang tiba di Mumbai pada Rabu bersama delegasi perniagaan besar untuk lawatan dua hari, menyifatkan urusan berkenaan sebagai contoh perkongsian strategik yang semakin berkembang dengan India.
Starmer dan Perdana Menteri India Narendra Modi turut mengadakan perbincangan menyeluruh di pusat perniagaan India pada Khamis bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami