NEW DELHI: Pihak berkuasa India menghalang seorang wartawan foto Kashmir yang memenangi hadiah Pulitzer pergi ke Amerika Syarikat (AS).

Sanna Irshad Mattoo berkata beliau dihalang menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi pada Isnin.

"Saya dalam perjalanan untuk menerima anugerah Pulitzer di New York tetapi disekat pihak imigresen di lapangan terbang New Delhi dan dihalang daripada melakukan perjalanan antarabangsa walaupun memiliki visa dan tiket AS yang sah," katanya pada Selasa.

"Ini adalah kali kedua saya dihalang ke luar negara tanpa alasan munasabah.

"Saya telah menghubungi beberapa pegawai selepas kejadian yang sama beberapa bulan lalu namun, saya masih belum mendapat sebarang maklum balas.

"Dapat menghadiri majlis anugerah itu peluang sekali seumur hidup saya," tulis Sanna di media sosial.

Wanita berusia 28 tahun itu dianugerahkan hadiah Pulitzer bagi liputan fotografinya mengenai pandemik COVID-19 yang disiarkan Reuters dan dijadual ke New York pada Isnin untuk menerima anugerah itu.

Pada Julai, beliau mendakwa pihak imigresen di lapangan terbang New Delhi menyekat perjalanannya ke Paris bagi menyertai pameran fotografi.

Sanna mendakwa pihak berkuasa tidak memberi sebarang alasan tetapi sekadar memaklumkan beliau tidak dibenarkan melancong ke luar negara.

-- BERNAMA