KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said yang meninggal dunia pada pukul 6.01 petang Selasa pada usia 91 tahun.
Perdana Menteri berkata, beliau menerima khabar pemergian A Samad Ismail dengan rasa hiba dan sayu
"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Saya menerima khabar pemergian Sasterawan Negara A. Samad Said dengan rasa hiba dan sayu. Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.
"Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan," jelas Anwar dalam catatan di laman media sosialnya pada Selasa.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, merupakan antara tokoh sastera tanah air yang banyak menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan Melayu.
Sepanjang kerjaya penulisannya, beliau menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, drama, cerpen dan esei, sekali gus menjadikannya antara sasterawan paling prolifik negara.
Antara karya terkenal beliau termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie.
Karya Salina turut diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, manakala beberapa karya lain diadaptasi ke pentas teater dan drama.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rahmat ke atas ruh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.
"Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan ruhnya diberi tempat istimewa di sisiNya," ujarnya.