PUTRAJAYA: Produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ketiga tahun ini mencatat pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun, mencecah RM48.20 setiap jam yang dipacu oleh prestasi baik daripada sektor pembuatan dan pembinaan.
Menurut Statistik Produktiviti Buruh, Malaysia, Suku Tahun Ketiga 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, nilai ditambah per jam bekerja meningkat daripada RM46.60 per jam pada suku tahun kedua 2026, didorong oleh pengembangan ekonomi 5.5 peratus.
“Prestasi yang memberangsangkan ini juga turut menyaksikan jumlah jam bekerja meningkat satu peratus kepada 9.7 bilion jam, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan berterusan aktiviti buruh,” menurut DOSM dalam kenyataan, hari ini.
Produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per penduduk pula meningkat 4.2 peratus kepada RM27,788 berbanding RM26,598 pada suku tahun sebelumnya, manakala jumlah penduduk bekerja turut meningkat 1.2 peratus dengan merekodkan 16.8 juta orang.
“Pada peringkat sektor, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per jam bekerja mencatat pertumbuhan positif dalam kebanyakan sektor. Sektor Pembuatan menerajui prestasi produktiviti dengan pertumbuhan 6.9 peratus diikuti oleh sektor pembinaan sebanyak 6.4 peratus dan pertanian dengan 1.9 peratus,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, DOSM memaklumkan sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan penyusutan lima peratus selepas mencatat pertumbuhan 9.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Bagi produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per penduduk bekerja, pembuatan merupakan sektor berprestasi terbaik dengan merekodkan pertumbuhan 7.4 peratus, diikuti oleh sektor pembinaan yang berkembang 5.4 peratus, perkhidmatan (4.1 peratus) dan pertanian (0.7 peratus).
“Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat penguncupan 5.5 peratus berbanding pertumbuhan 9.2 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya,” menurut kenyataan itu.
DOSM memaklumkan peningkatan berterusan produktiviti buruh Malaysia mencerminkan keupayaan ekonomi untuk menjana output yang lebih tinggi dalam keadaan ketidaktentuan persekitaran luar.
Menuju ke hadapan, penekanan yang lebih besar terhadap aktiviti bernilai tambah tinggi, penggunaan sumber yang lebih cekap serta pertumbuhan yang dipacu oleh inovasi akan menjadi faktor penting dalam mengekalkan peningkatan produktiviti, selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-13 yang dijangka memperkukuh daya tahan ekonomi negara, sekali gus menyokong pencapaian sasaran pertumbuhan produktiviti negara.
-- BERNAMA