DUNIA
India, Maldives setuju mulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas

Muizzu (kanan) berjabat tangan dengan Modi selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua negara di Male, Maldives, 25 Julai 2025. (Pejabat PM India/AP)
NEW DELHI: India dan Maldives bersetuju untuk memulakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA), susulan lawatan negara Perdana Menteri India Narendra Modi ke negara kepulauan itu yang memberi dorongan baharu kepada hubungan dua hala.
Modi dan Presiden Maldives Mohamed Muizzu mengadakan perbincangan mendalam untuk memperkukuh hubungan dan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian pada Jumaat.
Antara yang dimeterai termasuk perjanjian India melanjutkan kemudahan kredit berjumlah US$565 juta kepada Maldives bagi projek keutamaan dalam pelbagai sektor seperti pertahanan, sukan, kesihatan, pendidikan dan perumahan.
Kedua-dua negara akan memulakan rundingan untuk FTA, umum Muizzu."Inisiatif bersejarah ini merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara," katanya dalam sidang media bersama Modi selepas pertemuan mereka.
Modi menerima sambutan mesra sebaik tiba bagi lawatan negara selama dua hari pada Jumaat, dengan Muizzu menyambut beliau dan delegasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana (VIA).
Perdana Menteri India itu dijadual menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Maldives daripada British pada Sabtu.
Lawatan ini menandakan penyusunan semula hubungan dua hala India-Maldives yang tegang susulan pelantikan Muizzu sebagai presiden pada 2023, apabila beliau menuntut penarikan kira-kira 80 anggota tentera India yang mengendalikan tiga pesawat di Maldives.
Kempen pilihan raya Muizzu sebelum ini membawa slogan "India-out".
Namun sebagai presiden, beliau telah membina hubungan yang lebih mesra dengan India.
Ketika lawatan negara selama lima hari ke India pada Oktober tahun lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami