Skip to main content

Teknologi

Penyelidik Anthropic dakwa berjaya buktikan Hipotesis Riemann dengan bantuan AI

Sekiranya disahkan, penemuan itu berpotensi menjadi antara kejayaan terbesar dalam sejarah matematik moden serta menandakan peranan yang semakin besar dimainkan oleh AI dalam penyelidikan saintifik. -Gambar fail/Reuters
Sekiranya disahkan, penemuan itu berpotensi menjadi antara kejayaan terbesar dalam sejarah matematik moden serta menandakan peranan yang semakin besar dimainkan oleh AI dalam penyelidikan saintifik. -Gambar fail/Reuters

Ringkasan AI

  • Ahli matematik Anthropic, Levent Alpöge, mendakwa berjaya membuktikan Hipotesis Riemann dengan bantuan model AI syarikat itu, Claude.
  • Pembuktian tersebut diformalkan menggunakan bahasa pengaturcaraan Lean, namun belum disahkan oleh komuniti matematik antarabangsa.
  • Institut Matematik Clay menetapkan penyelesaian perlu diterbitkan dalam jurnal akademik dan melalui semakan panjang sebelum diiktiraf rasmi.
Advertisement

SAN FRANCISCO: Seorang ahli matematik yang berkhidmat di syarikat kecerdasan buatan (AI) Anthropic mendakwa berjaya menemukan pembuktian bagi Hipotesis Riemann, antara masalah matematik paling sukar dan terkenal di dunia, menerusi kerjasama dengan model AI syarikat itu, Claude.

Penyelidik berkenaan, Levent Alpöge memaklumkan menerusi nota yang diterbitkan di laman web peribadinya pada Jumaat bahawa beliau percaya telah menemukan pembuktian bagi hipotesis yang dikemukakan ahli matematik Jerman, Bernhard Riemann, pada tahun 1859.

Alpöge berkata beliau telah menghantar mesej kepada Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei, pada malam Ahad lalu untuk membincangkan cara mengumumkan penemuan berkenaan.

Advertisement

Menurutnya, masa pengumuman itu mungkin menimbulkan persepsi tertentu memandangkan ia dibuat sehari selepas penyenaraian awam saham Anthropic di Nasdaq, namun beliau menafikan terdapat kaitan antara kedua-dua perkara tersebut.

Hipotesis Riemann merupakan antara tujuh Masalah Hadiah Milenium yang ditetapkan Institut Matematik Clay, dengan ganjaran AS$1 juta (kira-kira RM4.3 juta) bagi penyelesaian yang disahkan.

Advertisement

Alpöge berkata pembuktian itu diformalkan menggunakan Lean, iaitu bahasa pengaturcaraan yang membolehkan hujah matematik disemak secara automatik oleh komputer.

Bagaimanapun, komuniti matematik antarabangsa masih belum mengesahkan kesahihan pembuktian tersebut.

Sementara itu, ahli matematik terkemuka dan pemenang Pingat Fields, Terence Tao berkata proses semakan dan pengesahan menyeluruh dijangka mengambil masa walaupun kod berkenaan sudah mula diteliti oleh beberapa pakar.

"Saya menjangkakan proses meneliti pembuktian ini akan memakan masa, namun sekurang-kurangnya dalam kes ini kita mempunyai pengarang manusia untuk membantu proses pengesahan," katanya menerusi blog peribadinya.

Sekiranya disahkan, penemuan itu berpotensi menjadi antara kejayaan terbesar dalam sejarah matematik moden serta menandakan peranan yang semakin besar dimainkan oleh AI dalam penyelidikan saintifik.

Namun mengikut peraturan Institut Matematik Clay, sesuatu penyelesaian perlu diterbitkan dalam jurnal akademik dan melalui tempoh semakan yang panjang sebelum diiktiraf secara rasmi.

Must Watch Video

Advertisement