MOSCOW: Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kecerdasan buatan OpenAI dan pengasas model bahasa ChatGPT, Samuel Altman, menjadi warga asing pertama yang dikurniakan visa emas Indonesia, kata direktorat imigresen negara itu, lapor Sputnik.

Pada akhir Ogos, Indonesia mengisytiharkan peraturan baharu dengan pelancaran skim visa emas untuk menarik pelabur asing.

Visa terbabit memberikan hak untuk tinggal dan menjalankan perniagaan di Indonesia antara lima dan 10 tahun, bergantung pada nilai pelaburan.

Selain pelabur utama, visa emas mungkin diberikan "kepada tokoh terkenal dengan reputasi antarabangsa boleh memberi manfaat kepada Indonesia.

"Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Samuel Altman, menjadi warga asing pertama memperoleh Visa Emas selepas Imigresen melancarkan peraturan baharu pada Ogos lalu.

"Altman menerima Visa Emas dengan subkategori tokoh terkenal dengan permit tinggal 10 tahun ditandatangani oleh Ketua Pengarah Imigresen, Silmy Karim," kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Visa itu akan membolehkan Altman menikmati faedah tertentu seperti keutamaan pemeriksaan di lapangan terbang dan permit tinggal dipercepatkan.

Pada Jun, Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI dilaporkan melawat Jakarta untuk membincangkan prospek kecerdasan buatan dengan kerajaan negara itu.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada beliau pernah memohon visa Indonesia atau mempunyai rancangan untuk melabur di negara itu.

Dengan visa emas itu, kerajaan Indonesia menjangkakan usahawan itu menyumbang kepada pembangunan kecerdasan buatan di negara Asia Tenggara itu, menurut kenyataan itu.

Individu perlu memulakan perniagaan di Indonesia bernilai sekurang-kurangnya US$2.5 juta untuk layak mendapat visa selama lima tahun, atau menggandakan pelaburan kepada US$5 juta untuk permit tinggal selama 10 tahun.

Pengarah dan pesuruhjaya syarikat yang ditubuhkan di negara ini boleh mendapatkan visa lima tahun jika firma mereka melabur US$25 juta di Indonesia, atau 10 tahun bagi US$50 juta.

Polisi visa emas dilaksanakan di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Ireland, New Zealand dan Sepanyol.

--BERNAMA-SPUTNIK