Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia sudah melakukan 87 peratus persiapan bagi menghadapi
Pilihan Raya Kepala Daerah (PILKADA) 2020 esok.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Berita dan Hal Ehwal Semasa Kompas Digital, Alexander Wibisono, persiapan itu termasuk penyediaan tiga simulasi pilihan raya pada minggu lepas dan prosedur operasi standard (SOP) pengundian.

Hari penentuan esok juga, kata Alexander, akan berbeza berbanding PILKADA sebelum ini kerana setiap pengundi perlu melalui pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengundi kerana mengikut SOP.

"Pilihan raya itu dilaksanakan bermula pukul 7 pagi hingga 1 tengah haru. Ia dilakukan dalam lima waktu , jadi pengundi tidak akan datang bersamaan (serentak). Ini adalah hal yang baharu," katanya kepada Astro AWANI dalam wawancara menerusi Skype pada Selasa.

Selain itu, SOP pilihan raya juga menetapkan setiap pengundi diarahkan memakai sarung tangan pakai buang semasa proses pengundian.

Dalam masa sama, polis dan tentera, kata beliau, akan bertanggungjawab mengawasi lokasi pengundian bagi mengawal keselamatan orang ramai.

Katanya, PILKADA kali ini akan memberi tumpuan sepenuhnya pada pematuhan SOP memandangkan bekalan vaksin COVID-19 belum lagi diedarkan, 

"Vaksin belum diedarkan kerana vaksin yang datang itu harus mendapatkan kelulusan badan pengujian ubat dan makanan. jadi untuk pilihan raya kali ini tiada vaksin dan menurut pemerintah, mungkin akan didapati pada Januari," tambahnya lagi.