Skip to main content

Dunia

Indonesia lulus undang-undang lindungi pekerja domestik

51674551184_TBMAID.jpg
Pekerja domestik kini berhak menerima perlindungan insurans kesihatan, hari rehat, pencen serta faedah asas lain. - Gambar hiasan

JAKARTA: Parlimen Indonesia meluluskan undang-undang bagi melindungi hak pekerja domestik, lebih dua dekad selepas rang undang-undang itu diperkenalkan, sekali gus menandakan detik bersejarah buat jutaan pekerja yang sekian lama tidak dilindungi oleh undang-undang buruh negara itu.

Undang-undang Perlindungan Pekerja Domestik yang diluluskan itu memberikan pengiktirafan undang-undang kepada kira-kira 4.2 juta pekerja domestik di Indonesia, hampir 90 peratus daripadanya adalah wanita, yang sebelum ini tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah undang-undang buruh.

Advertisement

Di bawah undang-undang baharu itu, pekerja domestik kini berhak menerima perlindungan insurans kesihatan, hari rehat, pencen serta faedah asas lain.

Agensi penempatan juga tidak lagi dibenarkan membuat potongan gaji, manakala pengambilan pekerja domestik di bawah umur 18 tahun diharamkan.

Kelulusan undang-undang itu disambut dengan penuh emosi, dengan sebahagian pekerja dilaporkan menitiskan air mata.

Seorang pekerja menyifatkannya sebagai kemuncak “perjuangan selama 22 tahun untuk mendapatkan perlindungan”.

Rang undang-undang itu pertama kali dibentangkan pada 2004 namun berdepan pelbagai halangan politik dan pentadbiran sebelum perbahasan mengenainya dihentikan selama beberapa tahun.

Ia hanya dibangkitkan semula di parlimen pada 2020 sebelum akhirnya diluluskan tahun ini.

Kerajaan kini diberi tempoh setahun untuk merangka peraturan pelaksanaan secara terperinci.

Selama ini, berjuta-juta pekerja domestik Indonesia bekerja secara tidak formal tanpa kontrak bertulis, ada yang bekerja terlalu lama dengan gaji rendah, malah ada yang memasuki bidang itu seawal usia 12 tahun.

“Ia terasa seperti mimpi,” kata Ajeng Astuti, seorang pekerja domestik, kepada BBC Indonesia.

“Ini adalah perjuangan kami selama 22 tahun sebagai wanita terpinggir untuk mendapatkan perlindungan.”

Seorang lagi pekerja dari Yogyakarta, Jumiyem, berkata undang-undang itu sesuatu yang telah lama dinantikan oleh pekerja domestik.

“Sekarang kami benar-benar dapat merasainya,” katanya.

Kumpulan hak asasi menyambut baik kelulusan undang-undang itu namun mengingatkan bahawa usaha belum berakhir.

Lita Anggraini daripada kumpulan Jala PRT berkata kempen pendidikan awam diperlukan bagi memastikan majikan memahami tanggungjawab mereka terhadap pekerja domestik.

Menurut kumpulan tersebut, lebih 3,300 kes keganasan terhadap pekerja domestik direkodkan antara 2021 hingga 2024, termasuk penderaan fizikal dan psikologi.

Undang-undang baharu itu diharapkan dapat mengurangkan penderaan serta meningkatkan maruah dan perlindungan golongan pekerja domestik di Indonesia.
 

Must Watch Video