Indonesia saman enam syarikat, tuntut lebih AS$200 juta susulan kerosakan alam sekitar di zon banjir

Banjir maut yang melanda bahagian barat laut Sumatera tahun lalu menyaksikan aliran lumpur dan kayu balak menghanyutkan kampung-kampung. - Foto fail/REUTERS
JAKARTA: Kerajaan Indonesia memfailkan beberapa saman sivil menuntut lebih AS$200 juta (RM811 juta) daripada enam syarikat yang didakwa menyebabkan kerosakan alam sekitar di kawasan terdedah banjir, susulan bencana besar di Sumatera tahun lalu yang meragut lebih 1,000 nyawa.
Kementerian Alam Sekitar memaklumkan tuntutan itu melibatkan dakwaan kerosakan ke atas kawasan melebihi 2,500 hektar, dengan jumlah tuntutan merangkumi denda kerosakan serta nilai pemulihan yang dicadangkan.
Saman difailkan pada Khamis di mahkamah Jakarta dan Medan, Sumatera Utara, memetik laporan Al Jazeera.
“Kami berpegang teguh kepada prinsip *polluter pays*,” kata Menteri Alam Sekitar Hanif Faisol Nurofiq dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan mana-mana syarikat yang “mengaut keuntungan dengan merosakkan ekosistem mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk memulihkannya”.
Banjir maut yang melanda bahagian barat laut Sumatera tahun lalu menyaksikan aliran lumpur dan kayu balak menghanyutkan kampung-kampung.
Kerajaan, pakar dan aktivis alam sekitar menyalahkan penebangan hutan sebagai faktor utama yang memburukkan impak hujan lebat.
Bagaimanapun, Kementerian Alam Sekitar enggan memperincikan bentuk kerosakan yang didakwa ketika dihubungi AFP, dengan menyenaraikan defendan hanya melalui inisial.
Menurut laporan The Indonesia Business Post, kementerian itu juga sedang menjalankan audit alam sekitar ke atas lebih 100 syarikat di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.
Menteri Hanif dipetik berkata suspek jenayah berpotensi akan dikenal pasti selepas audit selesai.
Secara berasingan, satu pasukan petugas melibatkan tentera, polis, Pejabat Peguam Negara dan beberapa kementerian telah mengenal pasti 12 syarikat yang disyaki menyumbang kepada banjir kilat dan tanah runtuh di Sumatera.
Namun, kumpulan alam sekitar mengkritik langkah saman itu sebagai tidak mencukupi.
Aktivis alam sekitar Greenpeace Indonesia, Arie Rompas, menyifatkan tindakan berkenaan sebagai “minimalis” dan menggesa semakan menyeluruh dasar yang menyumbang kepada bencana.
“Selain krisis iklim, banjir juga berpunca daripada degradasi tanah termasuk penebangan hutan oleh korporat.
"Syarikat-syarikat ini menerima permit daripada kerajaan,” katanya kepada AFP.
Penebangan hutan akibat perlombongan, perladangan dan kebakaran telah menghapuskan kawasan luas hutan hujan Indonesia sejak beberapa dekad lalu.
Analisis projek Nusantara Atlas oleh The TreeMap menunjukkan lebih 240,000 hektar hutan primer hilang pada 2024.
Bulan lalu, Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni berkata kerajaan akan membatalkan 22 permit perhutanan di seluruh negara, termasuk permit meliputi lebih 100,000 hektar di Sumatera.
Walaupun tidak mengesahkan kaitan langsung dengan bencana, beliau menyatakan kejadian banjir memberi peluang untuk “menilai semula dasar”.
“Bandul antara ekonomi dan ekologi nampaknya telah terayun terlalu jauh ke arah ekonomi dan perlu ditarik kembali ke tengah,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


