JAKARTA: Indonesia telah menyatakan kesediaannya untuk menjadi tuan rumah dialog antara pihak yang berkonflik di Myanmar jika dipilih untuk berbuat demikian, kata Menteri Luar, Sugiono pada Selasa.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan sokongan Indonesia terhadap usaha perdamaian di Myanmar, iaitu untuk mencapai keamanan berkekalan memerlukan dialog melibatkan semua pihak berkepentingan.
"Kita bersedia jika Indonesia dipilih menjadi tuan rumah. Saya rasa Indonesia juga lebih diterima untuk peranan itu," katanya, menurut Agensi Berita Antara.
Sugiono berkata, kesediaan Indonesia itu disampaikan pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Luar ASEAN dengan Myanmar di Bangkok pada Ahad yang membincangkan perkembangan di Myanmar dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC).
Beliau berkata, setiap langkah ke hadapan ke arah mencapai keamanan di Myanmar perlu dialu-alukan, sambil mengakui kerumitan keadaan bermakna pelaksanaan 5PC akan mengambil masa.
Menteri Luar Negeri itu berkata, pelaksanaan 5PC terus berdepan pelbagai cabaran, termasuk antara yang paling kritikal ialah penubuhan dialog inklusif melibatkan semua pihak berkepentingan di tengah-tengah perang saudara yang berterusan.
Diterima pakai oleh pemimpin ASEAN pada April 2021, 5PC berfungsi sebagai pelan hala tuju blok itu untuk menangani krisis Myanmar antara lain menerusi penamatan keganasan, dialog inklusif dan bantuan kemanusiaan.
-- BERNAMA