Skip to main content

Dunia

Indonesia sekat 3.7 juta laman sesawang, tutup ribuan akaun dalam operasi banteras judi dalam talian

81732197250_OnlineGambling.jpg
Tindakan kerajaan Indonesia kini tidak lagi terhad kepada menyekat laman perjudian, sebaliknya turut menyasarkan keseluruhan rangkaian yang menyokong kegiatan berkenaan. - Gambar hiasan
Advertisement

JAKARTA: Indonesia menyekat akses kepada kira-kira 3.7 juta laman sesawang dan kandungan dalam talian berkaitan perjudian dalam talian serta menutup ribuan akaun bank sejak akhir 2024, ketika pihak berkuasa memperhebat operasi membanteras kegiatan haram itu di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Meutya Hafid berkata tindakan kerajaan kini tidak lagi terhad kepada menyekat laman perjudian, sebaliknya turut menyasarkan keseluruhan rangkaian yang menyokong kegiatan berkenaan.

“Usaha membanteras perjudian dalam talian perlu dilaksanakan secara menyeluruh. 

"Ia tidak memadai dan tidak seharusnya terhenti setakat menyekat akses kepada laman sesawang, sebaliknya perlu menyasarkan keseluruhan rangkaiannya,” kata beliau pada sebuah forum di sini pada Selasa, menurut kenyataan kementerian.

Meutya berkata pendekatan lebih menyeluruh itu membabitkan kerjasama erat antara kementerian, Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK), Bank Indonesia, industri perbankan dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi melumpuhkan rangkaian kewangan yang menyokong perjudian dalam talian.

Sejak akhir 2024, kementerian itu dan OJK mengenal pasti kira-kira 38,000 akaun bank yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan, dengan sekitar 32,500 daripadanya ditutup selepas melalui proses semakan.

Beliau berkata sekatan terhadap laman perjudian perlu disusuli langkah memutuskan sumber kewangan sindiket menerusi penutupan akaun bank perantara, sambil menegaskan kerjasama antara agensi penting bagi memutuskan rantaian jenayah digital.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement