Kerajaan Indonesia menjanjikan bantuan kewangan tunai berjumlah AS$1 juta dolar untuk Palestin, lapor laman web akhbar Republika.

Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keamanan, Djoko Suyanto berkata bantuan itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Komitmen ini akan dibincangkan melalui Menteri Luar dan Duta Besar Palestin di Jakarta," katanya seperti dipetik oleh Republika.co.id.

Menteri Penyelaras Kesejateran Rakyat, Agung Laksono pula dipetik berkata bantuan wang tunai itu dianggap paling memadai untuk disampaikan segera kepada Palestin susulan serangan Israel ke atas Gaza sejak Selasa lalu.

"Kita memberikan wang 1 juta dolar AS kerana bantuan itu yang paling memungkinkan untuk diberikan dalam keadaan sekarang," petik laman web itu lagi.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang prihatin dengan perkembangan terbaru di Gaza sekarang menegaskan Indonesia mengutuk serangan tersebut.

Beliau mengajak badan antarabangsa untuk mendesak Pertubuhan Bangsa Bersatu melakukan sesuatu agar Israel menghentikan serangan tersebut.

Indonesia juga menggesa agar satu gencatan senjata dicapai dengan segera dan gencatan senjata itu hendaklah dipantau oleh PBB.

Dalam pada itu, Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa memaklumkan pihaknya sedang mencuba mencari jalan penyelesaian melalui saluran diplomatik.

"Sudah tiba waktunya agar Israel betul-betul ditekan untuk menghentikan tindakan mereka yang biadap ini," katanya dalam kenyataan media yang dipetik oleh VivaNews.

BBC News yang memetik sumber di Palestin melaporkan angka korban serangan empat hari berturut-turut sejak Selasa sudah mencecah lebih 100 orang.

Ini adalah keganasan Israel yang terburuk ke atas Gaza sejak 2012.