Skip to main content

Dunia

Indonesia terap bahan pendidikan bendung budaya LGBTQ dalam kurikulum sekolah

Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Romo Muhammad Syafi’i berkata garis masa tersebut bergantung pada perbincangan dan pemuktamadan bahan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama.- Foto FB Romo H. R. Muhammad Syafi'i
Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Romo Muhammad Syafi’i berkata garis masa tersebut bergantung pada perbincangan dan pemuktamadan bahan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama.- Foto FB Romo H. R. Muhammad Syafi'i

Advertisement

Ringkasan AI

  • Indonesia merancang memperkenalkan bahan pendidikan untuk membendung penyebaran "budaya LGBTQ" dalam kurikulum sekolah menjelang akhir tahun ini atau awal 2027.
  • Kementerian Hal Ehwal Agama sedang membangunkan bahan tersebut, dengan perbincangan melibatkan pemimpin agama dan ahli akademik pelbagai agama di Indonesia.
  • Bahan pendidikan ini juga akan dijadikan rujukan untuk pemimpin agama dan kaunselor yang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

JAKARTA: Indonesia menyasarkan untuk memperkenalkan bahan pendidikan yang bertujuan membendung penyebaran apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai "budaya LGBTQ", sebagai sebahagian kurikulum sekolah menjelang akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada permulaan tahun akademik 2027, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Romo Muhammad Syafi’i.

Beliau berkata garis masa tersebut bergantung pada perbincangan dan pemuktamadan bahan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama.

"Terdapat beberapa perkara strategik yang perlu menjadi tumpuan perbincangan kita. Pertama ialah pendekatan pendidikan, yang akan dilaksanakan dengan memasukkan bahan tersebut ke dalam kurikulum," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan perbincangan kumpulan fokus di Tangerang Selatan, wilayah Banten, pada Selasa, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian.

Pada Julai, kementerian itu mengumumkan ia sedang membangunkan bahan pendidikan mengenai isu lesbian, gay, biseksual, transgender, dan queer (LGBTQ) untuk institusi pendidikan agama.

Bagaimanapun ia belum menentukan sama ada bahan tersebut akan dimasukkan ke dalam pendidikan agama, pendidikan sivik atau mata pelajaran lain.

Romo berkata bahan tersebut juga akan berfungsi sebagai rujukan bagi pemimpin agama dan kaunselor yang bekerja secara langsung dengan masyarakat.

Beliau berkata perbincangan yang melibatkan pemimpin agama dan ahli akademik itu turut mengambil kira ajaran serta tafsiran daripada pelbagai agama yang dianuti di Indonesia.

"Teks dan tafsiran agama mungkin berbeza antara satu agama dengan agama yang lain, namun semua ajaran agama mempunyai perspektif teologi mengenai perkahwinan, zuriat dan kehidupan sebagai pasangan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement