JAKARTA: Indonesia menutup kira-kira 50 syarikat di lapan wilayah selepas titik panas kebakaran hutan dan tanah dikesan di kawasan operasi syarikat berkenaan.
Timbalan Menteri Alam Sekitar Diaz Hendropriyono berkata tindakan itu sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang, dengan pihak berkuasa memantau syarikat terbabit bagi menentukan sama ada mereka terlibat dalam kebakaran berkenaan.
“Kami sedang memantau syarikat ini dan 50 daripadanya kini telah ditutup. Ini bermakna terdapat kebakaran di kawasan berkenaan dan jika terbukti syarikat terbabit terlibat, tindakan akan dikenakan,” katanya menurut agensi berita Antara pada Rabu.
Sementara itu, Kementerian Perhutanan memaklumkan sebanyak 1,037 titik panas dengan tahap keyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat 9.05 malam waktu tempatan pada Selasa, berkurangan 400 atau kira-kira 27.8 peratus berbanding 1,437 sehari sebelumnya, berdasarkan data sistem pemantauan kebakaran hutan dan tanah, SiPongi.
Menurut kemas kini terbaharu kementerian itu di media sosial, daripada enam wilayah keutamaan, Kalimantan Tengah merekodkan 266 titik panas, Sumatera Selatan (245), Kalimantan Selatan (72), Jambi (62), Kalimantan Barat (43) dan Riau (15).
Kementerian itu memaklumkan jumlah titik panas menurun di Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat dan Kalimantan Selatan, manakala peningkatan dikesan di Sumatera Selatan, Jambi dan Riau, sekali gus memerlukan pemantauan intensif diteruskan.
Menurut kementerian itu, pasukan bersama meneruskan rondaan, pemeriksaan di lapangan dan operasi pemadaman kebakaran dengan sokongan pemadaman dari udara, rondaan udara serta operasi modifikasi cuaca apabila diperlukan.
Secara berasingan, Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni menggesa masyarakat, petani dan syarikat supaya terus berwaspada terhadap kebakaran hutan dan tanah sehingga akhir Oktober atau awal November, berikutan hujan semula jadi kini dijangka turun lebih lewat daripada ramalan sebelum ini.
Memetik ramalan terkini Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), Raja Juli berkata hujan semula jadi yang sebelum ini dijangka bermula pada awal Oktober mungkin tertangguh sehingga akhir Oktober atau awal November.
“Ini bermakna El Nino yang sangat kuat, sama seperti El Nino pada 2015, akan terus bersama kita selama kira-kira satu setengah bulan lagi,” katanya menurut Antara.
-- BERNAMA