Skip to main content

Dunia

Industri farmaseutikal Jerman jangka penurunan jualan susulan ketegangan perdagangan dengan AS

Sejak awal 2025, syarikat farmaseutikal meningkatkan penghantaran produk ke AS, sekali gus merancakkan jualan dan pengeluaran. - Gambar hiasan
Sejak awal 2025, syarikat farmaseutikal meningkatkan penghantaran produk ke AS, sekali gus merancakkan jualan dan pengeluaran. - Gambar hiasan

Advertisement

BERLIN: Industri farmaseutikal Jerman menjangkakan pengeluaran dan jualan merosot tahun ini berikutan ketegangan perdagangan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang terus memberi tekanan kepada sektor berkenaan, menurut unjuran Persatuan Syarikat Farmaseutikal Berasaskan Penyelidikan (VFA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut unjuran itu, pengeluaran farmaseutikal dijangka menyusut 2.2 peratus, manakala jualan sebenar merosot 1.8 peratus.

VFA memaklumkan bahawa pertumbuhan guna tenaga dalam industri yang menggaji hampir 130,000 pekerja di Jerman itu juga hampir terhenti, dengan jumlah pekerja dijangka kekal tidak berubah tahun ini.

Sektor berkenaan sebelum ini mendapat manfaat apabila syarikat farmaseutikal mempercepat penghantaran eksport pada tahun lepas susulan ancaman berulang Trump untuk mengenakan tarif terhadap ubat-ubatan.

Sejak awal 2025, syarikat farmaseutikal meningkatkan penghantaran produk ke AS, sekali gus merancakkan jualan dan pengeluaran.

"Susulan peningkatan awal eksport dan jumlah pengeluaran pada tahun lepas, trend itu kini berbalik pada 2026," menurut VFA.

Trump sebelum ini pernah mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 100 peratus terhadap ubat-ubatan yang dilindungi paten.

Walaupun tarif berkenaan tidak dilaksanakan dan perjanjian perdagangan antara Brussels dengan Washington menetapkan had maksimum tarif sebanyak 15 peratus bagi ubat-ubatan dari Eropah, ancaman itu telah menimbulkan ketidaktentuan dalam industri berkenaan.

Kira-kira satu perempat daripada eksport farmaseutikal Jerman dihantar ke AS, menjadikan pasaran itu amat penting berikutan harga ubat-ubatan di negara berkenaan jauh lebih tinggi berbanding di Eropah.

Beberapa syarikat farmaseutikal Jerman, termasuk Merck turut mengambil langkah susulan tekanan Trump dengan memberikan komitmen untuk melabur berbilion dolar di AS.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement